Penyanyi tahun 90an, Alina Hassan. FOTO Fathil Asri
Penyanyi tahun 90an, Alina Hassan. FOTO Fathil Asri
Ridzuan Abdul Rahman


KESEMPITAN hidup yang dialami penyanyi Alina Hassan, 52, turut mendapat perhatian penduduk kampung halamannya iaitu Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka yang sepakat mengumpul wang bagi membeli barangan kelengkapan rumah untuk kediaman baharunya di Pusat Perumahan Rakyat (PPR), Desa Rejang, Setapak yang bakal diduduki pada bila-bila masa.

Alina ketika dihubungi berkata, dia terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan mereka.

"Terima kasih dan syukur kerana mereka berhasrat nak bantu. Yang paling sedih, cerita kesusahan saya sampai kepada mereka dan mungkin buat mereka susah hati. Saya rasa bersalah seolah-olah dah menyusahkan mereka sehinggakan mereka kumpul dana untuk bantu saya. Saya pun faham kehidupan orang kampung bukanlah mewah mana, tapi mereka tetap nak bantu," katanya kepada Harian Metro.

Alina berkata, seorang wakil penduduk yang dikenali sebagai John menghubunginya Rabu lalu memaklumkan hasrat mereka.

"John dapat nombor saya daripada sepupu saya yang menetap di Cheras. Katanya mereka dah kumpul dana untuk bantu tapi jumlahnya tak diberitahu.

"Awalnya mereka berhasrat nak bantu pembedahan mata kanan saya yang buta akibat katarak, tapi saya jelaskan bahawa penyanyi Siti Sarah nak bantu untuk perkara ini. Kemudian, mereka kata nak taja pasang lampu rumah tapi saya beritahu ada individu dah bantu pasang lampu, kipas dan langsir dan mereka faham," katanya.

Selepas perbincangan, John akhirnya setuju menaja kelengkapan rumah seperti peti sejuk, perabot dan TV.

 "Sukar nak digambarkan perasaan saya. Syukur ramai yang berminat nak bantu. Saya doakan orang-orang kampung saya murah rezeki, diberikan kesihatan yang baik dan pelbagai lagi," katanya.

Terdahulu, kisah Alina yang juga Juara program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 dan pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018 tular apabila menghuni bilik kecil di sebuah rumah kedai di Setapak, Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.

Dia yang sudah lama memohon untuk menyewa rumah PPR akhirnya menerima berita gembira apabila permohonannya diterima Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dibenarkan menduduki rumah itu pada 15 Ogos lalu.

Rumah PPR DBKL Desa Rejang di Setapak, Kuala Lumpur disewa pada kadar sewa RM124 sebulan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 12:30 PM