KEANU REEVES
KEANU REEVES
Agensi

PELAKON Keanu Reeves bercerita pengalamannya yang menjalani penggambaran filem The Matrix 4 yang mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan yang ditetapkan.

Reeves berkata, dia menghargai setiap SOP ditetapkan yang bertujuan menjaga kesihatan semua pihak dan ia langsung tidak mengganggu penggambaran filem berkenaan.

"Saya rasa bagus, bersyukur dan satu penghormatan apabila dapat kembali bekerja. SOP yang ditetapkan sangat tersusun dan langsung tidak mengganggu penggambaran," katanya.

Proses penggambaran The Matrix 4 yang bermula pada Februari lalu dihentikan akibat penularan Covid-19. Bagaimanapun, ia disambung kembali pada Jun lalu di Berlin, Jerman.

"Saya fikir semua orang menyukai projek ini. Ini adalah yang terbaik. Kami hanya memperjuangkan dan kami tahu bagaimana menyelesaikan sesuatu, berfikir dengan baik serta memiliki semangat yang sama untuk berkumpul kembali," katanya.

Dengan semangat itu, dia serta beberapa tenaga produksi mengadakan persiapan bagi penggambaran.

"Ia seperti, 'mari kita bekerja'. Semangat itu hidup dan berlangsung dengan baik di lokasi penggambaran," katanya.

The Matrix 4 akan kembali menampilkan aksi Reeves dan Carrie-Anne Moss sebagai Neo dan Trinity.

Ia turut menampilkan lakonan Yahya Abdul-Mateen II dan Neil Patrick Harris.

Dari segi cerita, Waner Bros belum mengumumkan secara spesifik apakah filem ini sekuel atau bukan dari segi latar waktu.

Mereka hanya menyebut filem ini berlatar di dunia Matrix. Tiga filem The Matrix sebelum ini berkisarkan sekelompok pemberontak yang bertarung dengan mesin genius di masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 5:23 PM