Georgie Joseph

LEMBARAN hidup penyanyi Demi Lovato pada tahun ini cukup indah. Baharu menyambut hari jadinya yang ke-28 semalam, penyanyi Stone Cold itu jelas semakin diulit bahagia.

Kehadiran tunangnya, Max Ehrich lebih membuatkan hari-hari Demi berbunga. Mana tidaknya, tidak lama dulu dirinya kerap terpalit dengan kisah tekanan hidup selain kes dadah.

Namun kini dia benar-benar bangkit daripada kisah silam yang kelam untuk mengecap kebahagiaan diri. Menurutnya, siapa lagi mahu bahagiakan dirinya selain diri sendiri.

"Hidup tidak akan ada makna apa-apa jika kamu tidak menikmatinya untuk diri sendiri. Kalau kamu buat sesuatu perkara demi puaskan hati orang lain, ia tidak mungkin berhasil.

"Saya tidak pernah merasa kembali menjadi diri sendiri saya seperti dialami sekarang. Saya harus berjanji kepada diri sendiri untuk terus mencintai diri sendiri," katanya.

Apapun, dia tidak menafikan bertemu Ehrich disifatkan antara magis yang berlaku dalam hidupnya. Dia menyifatkan tunangnya adalah sinar yang menarik dirinya daripada kegelapan.

Justeru, Demi semestinya berharap hubungan mereka bakal berakhir dengan ikatan utuh. Menurutnya, dia mahu terus dirahmati hidupnya dengan Ehrich di sisi.

DEMI berazam bina rumah tangga berkekalan dengan Ehrich.
DEMI berazam bina rumah tangga berkekalan dengan Ehrich.

"Dia adalah ibarat sinar yang cukup positif hadir dalam hidup saya. Dialah juga insan penting yang berjaya menarik keluar kegelapan dalam diri saya.

"Selama dua tahun lamanya saya terpaksa bertarung sendiri, terlalu banyak sudah saya lakukan untuk diri sendiri. Ia termasuk hal yang membuat saya rasa sedih berminggu atau berbulan lamanya.

"Bagaimanapun, semua itu berlalu seperti kilat tropika serta merta selepas saya bertemu tunang," katanya.

Terdahulu, Demi menerusi Instagram berkongsi berita gembira sudah dilamar Ehrich yang juga pelakon. Dalam muat naik itu, Demi turut berkongsi perasaan cintanya terhadap pelakon The Young and The Restless itu.

"Saya tahu saya jatuh cinta dengan awak ketika kali pertama bertemu awak. Ia adalah sesuatu yang tak dapat dijelaskan kepada orang yang tak mengalaminya. Saya tak pernah rasa dicintai tanpa syarat oleh sesiapa (selain keluarga)," tulisnya.

Demi juga berkata, Max sentiasa menerima dirinya seadanya.

BANGKIT daripada kisah silam yang kelam kini diulit bahagia bersama tunang.
BANGKIT daripada kisah silam yang kelam kini diulit bahagia bersama tunang.

"Awak tak pernah menekan saya untuk menjadi orang lain dan awak buatkan saya ingin menjadi versi terbaik diri saya. Saya berbesar hati menerima lamaran awak.

"Saya cintakan awak lebih daripada apa yang dapat saya luahkan dan ingin mulakan sebuah keluarga dan kehidupan bersama awak.

"Saya cintakan awak selama-lamanya. Pasanganku, untuk masa depan kita!" tulisnya disertakan dengan beberapa emoji.

Turut mencuri perhatian adalah foto cincin lamarannya yang bertatah batu berlian bersaiz besar.

Berita gembira itu disambut baik pengikut-pengikutnya di Instagram termasuklah deretan selebriti terkenal antaranya Avril Lavigne, Khloe Kardashian, Luis Fonsi, Ashley Graham, Ruby Rose dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 6:20 AM