Georgie Joseph


SITUASI getir pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini sememangnya menduga kekentalan hati sesetengah orang.

Pada masa ini, kata-kata positif adalah perkara yang diperlukan demi menghadapi kehidupan dengan kuat.

Itulah juga misi Aizat Amdan atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, 31, menerusi pembabitannya dalam lagu ME ME WE bersama penyanyi serata Asia yang dilancarkan, baru-baru ini.

Lagu yang menggabungkan penyanyi Malaysia, Filipina, Indonesia, Korea Selatan dan Thailand itu sarat dengan mesej positif. Justeru, sebagai wakil negara, Aizat terharu menjadi sebahagian daripadanya.

"Saya terharu dapat menyumbang suara untuk sebuah lagu yang sangat positif serta mewakili Malaysia. Saya harap lagu ini mencapai misinya dan orang dengar lagu ini akan terinspirasi melakukan perkara positif.

"Hakikatnya, inilah yang kita mahukan sekarang apatah lagi pelbagai kesan menimpa masyarakat seluruh dunia akibat Covid-19. Ada yang kehilangan orang tersayang, pekerjaan, malah turut hilang semangat.

"Justeru, kami bergabung menerusi lagu ini untuk menyemarakkan lagi semangat setiap yang mendengarnya agar bangkit terus positif. Semoga dugaan berat ini bakal berakhir secepat mungkin," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai pembabitannya itu, penyanyi lagu Sungai Lui ini sangat teruja dipilih syarikat rakaman Warner Music Malaysia untuk misi istimewa berkenaan.

AIZAT bangga bergabung penyanyi seluruh Asia sebar mesej positif.
AIZAT bangga bergabung penyanyi seluruh Asia sebar mesej positif.

Baginya, dapat bergabung dengan penyanyi hebat dari negara lain satu pencapaian manis.

Walaupun rakamannya hanya dilakukan sendiri di tempat masing-masing, projek berkenaan amat bermakna. Mana tidak, pada saat sekarang barulah mendapat peluang untuk merealisasikan kerjasama sebegitu walaupun hanya secara 'virtual'.

"Gabungan ini sebenarnya jadi realiti selepas kerajaan Korea Selatan mencetus idea untuk tampil dengan lagu positif. Pada masa sama, mereka mahukan lagu itu membabitkan penyanyi dari pelbagai negara untuk menunjukkan kesatuan.

"Maklum saja, pandemik Covid-19 yang berlaku sekarang bukan hanya tertumpu di tempat tertentu sahaja. Semua terkesan dan kesulitan yang dihadapi sama sahaja buat warga satu dunia," katanya.

Lagu ME ME WE bertujuan menyampaikan mesej positif dan penuh harapan kepada mereka yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 melanda seluruh dunia. Lagu ini dihasilkan dengan misi mampu menyatukan khalayak seluruh dunia.

Selain Aizat, turut terbabit adalah Ailee, Ravi serta kumpulan K-Pop iaitu NewKidd dari Korea Selatan, Rahmania Astrini (Indonesia), Chillies (Vietnam), PAAM (Thailand) dan Quest (Filipina).

Single ini diterbitkan MZMC yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan EXO, Red Velvet dan Shinee. MZMC dikenali dengan penghasilan banyak lagu popular K-Pop seperti Ko Ko Bop, Tempo dan Love Shot nyanyian EXO.

Disebabkan perintah sekatan perjalanan ke luar negara diketatkan di semua negara itu, setiap penyanyi perlu merakamkan bahagian masing-masing di studio mereka sendiri sebelum diberikan sentuhan terakhir
oleh MZMC.

Video muzik rasmi ME ME WE sudah dimuat naik sejak 30 Julai lalu dan boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Korea Selatan.

Dalam tempoh dua minggu, video berkenaan berjaya meraih tontonan lebih 1.8 juta selain menerima komen positif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 6:15 AM