AYU Puteh
AYU Puteh
Najiy Jefri


PENERBIT filem, Datuk Ayu Puteh masih menantikan jawapan dan maklum balas daripada pihak bertanggungjawab berhubung isu cetak rompak filem terbitannya Ada Apa Dengan Dosa (AADD) di platform digital.

Ayu berkata, kerjasama yang jitu sudah diberikan, namun sehingga kini tiada tangkapan dibuat terhadap individu yang menjual karya inteleknya di sebuah platform e-dagang terkenal.

"Tak tahu nak cakap macam mana lagi. Saya hanya mampu berusaha dan teruskan perjuangan. Saya sudah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa untuk menangani isu cetak rompak ini.

"Saya lihat isu cetak rompak di platform digital semakin membimbangkan dan saya ingin menyeru kepada Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) supaya bertindak lebih cekap dan agresif dalam hal ini. Apa lagilah yang nak dibuat selain perjuangkan hak pemaju industri filem.

"Saya agak terkilan apabila karya saya yang dijual tanpa kebenaran oleh pihak tidak bertanggungjawab masih bebas. Mengapa sukar sangat untuk mencari pelaku ini sedangkan kereta yang hilang pun boleh jumpa dengan teknologi yang ada sekarang.

"Saya menyeru Finas dan pihak berwajib segera mengenalpasti individu ini. Saya mahu individu ini menyesal atas perbuatannya dan dijadikan contoh kepada orang lain yang berniat jahat," katanya.

Menurut Ayu, dia juga berharap penggiat seni tempatan supaya tampil bersuara dalam melindungi karya tempatan daripada dirompak sesuka hati.

"Jangan takut untuk bersuara kerana soal rezeki datang daripada Allah. Saya tahu ramai penerbit yang tidak berani bersuara kerana bimbang periuk nasi mereka akan terjejas.

"Namun, cuba fikir jika perkara ini tidak selesaikan segera mungkin pada masa akan datang karya anda pula dirompak dan tiada penyelesaian untuk menanganinya.

"Sudah tiba masanya untuk kita sama-sama bersatu hati dalam menyeru Finas dan pihak berkaitan untuk bekerjasama membantu menangani isu cetak rompak ini," katanya.

Menurut Ayu, kepimpinan Finas bersilih ganti tetapi isu cetak rompak membabitkan karya seni seperti filem hingga kini masih belum berupaya diselesaikan dengan berkesan.

Tindakan Ayu lantang bersuara demi memperjuangkan hak miliknya yang dicuri orang dengan mudah dan wajar baginya menuntut ganti rugi sebagai pemilik hak cipta asal.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Ayu bakal menyaman pihak e-dagang terkenal sebanyak RM50 juta, susulan pihak terbabit didapati menjual filem AADD terbitan syarikatnya, Pencil Pictures & Records Sdn Bhd secara haram di platform berkenaan.

Malah, filem AADD yang dibintangi Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha dan PU Riz itu dijual pada harga RM1 dan RM5 di platform e-dagang berkenaan.

Berita berkaitan

'No more tin kosong, FINAS!' - Ayu Puteh

Puas hati kerjasama polis, Ayu Puteh serius nak bertindak!

Shopee senarai hitam kata kunci berkaitan filem

Jual filem RM1, Penerbit AADD saman e-dagang RM50 juta

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 7:46 PM