DATUK Seri Rossa.
DATUK Seri Rossa.
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI Indonesia, Datuk Seri Rossa mengambil kelas bahasa Korea secara peribadi dan mendalami bahasa itu selama enam bulan sebelum merakamkan lagu popularnya, Hati Yang Kau Sakiti dalam bahasa Korea.

Rossa ketika ditemubual menerusi aplikasi Zoom berkata, dia juga menubuhkan kumpulan WhatsApp khas yang membabitkan beberapa individu yang pandai berbahasa Korea untuk membantunya.

"Saya ada melantik seorang guru peribadi yang datang mengajar di rumah, tetapi apabila krisis Covid-19 melanda, proses pembelajaran di rumah terpaksa dihentikan.

"Selain itu, saya juga ada belajar sikit-sikit dari drama-drama Korea Selatan yang saya tonton. Tapi, yang banyak membantu adalah selepas saya menubuhkan kumpulan WhatsApp membabitkan beberapa kenalan yang boleh berbahasa Korea termasuklah rakan artis, Boy William," katanya.

Rossa yang menyanyikan semula lagu dengan judul Sangcheo Badeun Maeum itu berkata, dia perlu belajar dan benar-benar memahami bahasa itu kerana ingin menjiwai nyanyiannya ketika proses rakaman.

"Apa yang paling penting untuk menjiwai sesuatu lagu adalah dengan memahami lirik yang dinyanyikan. Mujurlah saya banyak dibantu rakan-rakan yang boleh berbahasa Korea.

"Walaupun ia bukanlah alih bahasa secara langsung, tapi jalan cerita dalam lagu itu masih dikekalkan seperti mana lagu asal," katanya.

Hati Yang Kau Sakiti adalah lagu hasil ciptaan komposer, Enda Ungu dan menjadi lagu yang dimuatkan dalam album studio keenamnya, Rossa yang diterbitkan pada 2009.

Lagu itu mula tular baru-baru ini apabila Rossa secara suka-suka merakamkan dan memuat naik video nyanyiannya dalam bahasa Korea dan mendapat reaksi daripada ramai YouTube Indonesia dan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 6:06 PM