SIQMA kekal konsep ritma atas puisi kembali dengan single Raja Simurgh.
SIQMA kekal konsep ritma atas puisi kembali dengan single Raja Simurgh.
Sudirman Mohd Tahir


SIQMA, bukan nama yang asing dalam kalangan peminat arena hip hop tempatan.

Penyanyi rap, komposer dan penerbit ini mula menceburkan diri dalam arena hip hop tempatan pada 2016 dan sejak itu namanya mula meniti di bibir peminat apabila Siqma menerbitkan sendiri lagu ciptaannya yang dikongsikan menerusi laman YouTube sejak 2017.

Memiliki rentak dan gaya tulisan berkonsepkan ritma atas puisi, Siqma banyak menumpukan pengalaman dan perspektifnya dalam menyampaikan mesej.

Pada pertengahan tahun lalu, karya ciptaan Siqma menambat hati peminat hip hop sehingga tular dan mendapat jolokan 'The New Malique' oleh peminat.

Pada April lalu, di bawah naungan Universal Music Malaysia, Siqma tampil ke arena arus perdana dengan melancarkan dua lagu berjudul Cemas dan Salam 1001 secara serentak.

Lagu Cemas mengambil inspirasi daripada situasi panik yang tercetus dalam kalangan masyarakat Malaysia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu dengan mesej untuk kekal tenang ketika menghadapi gelombang pandemik Covid-19.

Manakala lagu Salam 1001 pula ditulis sebagai penghargaan kepada semua pihak yang menjadi tulang belakang kejayaan karier seninya sekarang.

Tidak terhenti di situ, Siqma kembali lagi dengan single terbaharu, Raja Simurgh yang turut menampilkan rapper Kmy Kmo yang sebelum ini popular dengan lagu Zuhud dan Tujuh Nasihat hasil kolaborasinya bersama Luca Sicta, Datuk M Nasir dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Raja Simurgh adalah ciptaan Siqma manakala lirik ditulis bersama Kmy Kmo.

Mengambil konsep ritma atas puisi yang mengekalkan ciri kemelayuan dalam lagu hip hop, lagu ini mengambil inspirasi melodi lagu rakyat Rasa Sayang yang digabungkan dengan rentak hip hop beserta seni kata laksana puisi.

"Lagu ini diilhamkan daripada buku tulisan penyair sufi berbangsa Parsi dari abad ke-12, Faridu'Din Attar berjudul Mantiqu't-Thair atau dalam bahasa Melayu membawa maksud Musyawarah Burung. Buku ini mengenai perhimpunan burung dari segenap pelosok dunia yang berbahas dalam pencarian mencari raja sejati mereka, burung Simurgh.

"Ini bukan pertama kali buku tulisan Faridu'Din Atta menjadi sumber inspirasi pengkarya muzik tempatan. Sebelum ini, Datuk M.Nasir pernah popular dengan lagu Tanya Sama Itu Hud Hud turut mengangkat subjek ketuhanan yang ditulis dalam buku penyair sufi zaman silam itu.

"Lagu ini lebih menceritakan situasi mengenai kepentingan hidup atau wujud secara umum seperti tingkah laku dan amalan kita, moral, kesetiaan kita kepada agama dan banyak lagi mengenai diri kita.

"Raja Simurgh adalah peringatan bagi kita untuk selalu bergantung pada diri kita sendiri kerana pada akhirnya hanya kita sendiri yang tahu apa yang terbaik untuk diri kita. Ia bukan lagu ketuhanan, tapi lebih kepada mesej positif untuk santapan rohani dan minda pendengar," katanya.

Sebagai pendatang baharu, Siqma mengakui sangat percaya keikhlasan juga adalah kunci utama untuk tampil sebagai pengkarya yang meyakinkan.

Justeru, dia sangat berharap Raja Simurgh akan membuka mata pendengar untuk mendalami setiap mesej disampaikan dalam liriknya.

Bukan sekadar pendengar hip hop, malah lagu ini boleh diterima oleh segenap lapisan masyarakat.

"Semestinya, saya tidak mahu menyasarkan lagu ini kepada pengikut hip hop saja khususnya. Sebaliknya, saya mahukan lagu ini memberi teladan dan mesra telinga kepada semua pendengar dari pelbagai latar belakang.

"Saya percaya peminat muzik sudah cukup bijak menilai estetika sesebuah karya itu tanpa mengira genre yang ditampilkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 6:50 AM