PASANGAN duet sensasi, Ariff dan Sarah tampil dengan projek khas menerusi lagu Satu Di Hati. FOTO: Khairul Azhar Ahmad
PASANGAN duet sensasi, Ariff dan Sarah tampil dengan projek khas menerusi lagu Satu Di Hati. FOTO: Khairul Azhar Ahmad
Norhayati Nordin

LAGU raya sempena sambutan Aidilfitri sering dihasilkan penggiat muzik tanah air.

Namun, agak jarang untuk lagu istimewa bagi Aidiladha.

Justeru, pada tahun ini pasangan duet sensasi iaitu Ariff Bahran dan Sarah Suhairi tampil dengan projek khas mereka menerusi lagu Satu Di Hati.

Karya yang masih mengekalkan melodi asal lagu Bicara Rasa nyanyian duet mereka sebelum ini, hanya ditukar lirik ke arah Islamik.

Menurut Sarah, pendekatan itu dilakukan syarikat rakaman, Rusa Music berikutan penerimaan sangat baik pendengar terhadap lagu Bicara Rasa.

"Alhamdulillah, saya dan Ariff Bahran sekali lagi mendapat peluang merakamkan lagu duet Satu Di Hati yang diberi nafas baharu.

"Melalui lirik lagu versi Islamik ini, ia hasil cetusan rasa daripada tulisan kreatif, Al-Farouq dan Indah. Liriknya ditulis mereka, sangat puitis.

"Ia ternyata karya lagu yang menjurus mesej keagamaan dan pastinya berjaya menyentuh hati pendengar, " katanya.

Sarah berkata, apatah lagi di kala masyarakat Islam di negara ini masih seronok meraikan kemeriahan Aidiladha.

"Jika diamati lirik lagu Satu Di Hati dengan teliti, ia membawa mesej berkaitan pengorbanan, kesetiaan, ketakwaan dan perletakan sepenuh pengharapan hanya kepada Allah.

"Selain itu, liriknya juga mengisahkan satu harapan besar di hati kita supaya mendapat peluang dijemput sebagai tetamu Allah ke Tanah Suci Mekah suatu hari nanti," katanya.

Mengulas pula mengenai video muzik lagu Satu Di Hati, Ariff Bahran menyifatkan jalan cerita dimuatkan sangat menarik dan dianggap sambungan pada kisah yang dipaparkan dalam Bicara Rasa.

"Video muzik lagu Satu Di Hati ini seakan menceritakan kisah percintaan antara dua hati yang terpisah oleh jarak.

"Boleh dikata, kisahnya berkisar kepada Sarah yang sudah tamat pengajian di Jordan dan mengirimkan surat tanda ingatan tulusnya kepada saya.

"Sebaik menerima surat daripada Sarah itu, saya menjadi perindu yang menyimpan harapan untuk dijemput Allah menjejakkan kaki ke Tanah Suci," katanya.

Sehubungan itu, video muzik lagu Satu Di Hati yang dimuat naik di YouTube sejak 29 Julai lalu hingga kini mancatat sekitar 94,000 tontonan.

Mendapat lebih 340 komen positif ditulis pelayar YouTube, kebanyakan mereka sangat menyukai gandingan Sarah dan Ariff Bahran yang diakui cukup serasi sebagai pasangan duet.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 6:45 AM