Wani Kayrie
Wani Kayrie
Norhayati Nordin


PENYANYI dan pelakon Wani Kayrie , 20, tidak berselindung mengenai dirinya yang meminati lelaki berkulit hitam manis.

Wani atau nama sebenar Syazwani Abdullah berkata dia lebih selesa bersikap terbuka dengan berterus-terang pada setiap soalan ditanyakan.

"Selagi soalan yang ditanya itu tidak keterlaluan, saya akan menjawab sebaik mungkin. Lagi pun, sekadar bercerita kriteria lelaki idaman.

"Memang pilihan saya, lelaki hitam manis. Namun, soal jodoh sebenar hanya Allah SWT yang tahu. Apapun, tak salah untuk saya berterus-terang.

"Saya pun, belumlah terfikir nak kahwin lagi kerana kini dalam pengajian ijazah undang-undang di universiti. Kalau ikutkan, saya ada tiga tahun sebelum tamat pengajian," katanya.

Menurut Wani yang pernah popular dengan lagu Jangan Jangan dan Aku Suka Kamu, apapun paling utama baginya adalah memastikan berjaya dalam pelajaran dan memiliki ijazah.

"Sebagai anak sulung, saya kena pastikan dapat tunai impan keluarga terutama ibu tersayang. Ini kerana, ibu nak sangat saya berjaya memiliki ijazah undang-undang itu.

"Lagi pun, demi masa depan saya juga. Setakat ini, saya bersyukur dapat membahagi masa di antara kerjaya seni dan pelajaran dengan baik. Alhamdulillah, kedua-duanya bergerak seiring," katanya.

Wani yang kini menceburi bidang lakonan, berdebar menunggu kemunculannya dalam drama 13 episod, Dayang Senandung yang dijangka disiarkan pada Oktober ini di RTM.

Katanya, dia bimbang dengan penerimaan penonton berikutan pernah mencetus kontroversi berhubung video Tik Tok dihasilkannya sekitar Jun lalu.

Sebelum ini, Wani juga pernah dikait dengan gosip cinta bersama penyanyi dan pelakon Afieq Shazwan, 23, sejak kedua-duanya kelihatan rapat sekitar 2018 lalu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 9:03 PM