Sarah Suhairi
Sarah Suhairi
Norhayati Nordin


PENYANYI Sarah Suhairi, 20, tidak menolak peluang sekiranya dia bersama penyanyi dan komposer, Ariff Bahran, 22, akan berterusan diganding sebagai pasangan duet dalam lagu.

Sarah berkata, dia sentiasa positif dan bersikap terbuka untuk kerjasama duet mereka pada masa akan datang kerana sudah serasi dengan Ariff Bahran.

"Saya bersedia untuk terus berganding dengan Ariff Bahran sebagai pasangan duet. Ini kerana, kami sudah kenal lama dan profesional dalam bekerja.

"Saya turut yakin di pihak dia (Ariff Bahran) pun tiada masalah untuk kami terus menjadi pasangan duet memandangkan diurus oleh syarikat yang sama, Rusa Music," katanya.

Mengulas juga gosip cinta di antara mereka, Sarah berkata, ia adalah perkara biasa dalam industri hiburan.

"Memang tiada masalah pun untuk kami terus bekerjasama. Saya memang sudah selesa bekerja dengan Ariff Bahran dan kalau ada yang nak terus gosipkan kami, terpulang. Tak boleh nak tutup mulut orang," katanya.

Jun lalu Ariff Bahran mendedahkan hubungan dengan wanita yang bekerja dalam produksi penerbitan sudah putus sejak Mac lalu selepas lebih setahun bercinta.

Sebelum ini, Sarah dan Ariff Bahran juga pernah muncul dengan lagu duet berjudul Bicara Rasa pada September tahun lalu.

Sempena Aidiladha ini, mereka sekali lagi tampil duet dengan lagu raya istimewa berjudul Satu Di Hati. Masih mengekalkan melodi lagu Bicara Rasa, namun liriknya diubah ke arah kerohanian dan bersesuaian dengan sambutan Aidiladha, esok.

Sehubungan itu, video muzik lagu Satu Di Hati sudah dimuat naik di YouTube sejak semalam dan hingga kini mencatat sekitar 47,000 tontonan dengan lebih 200 komen penonton.

Rata-rata komen ditulis pelayar YouTube mengenai gandingan Sarah dan Ariff Bahran untuk lagu duet Satu Di Hati sangat positif, termasuk ramai mengakui keserasian mereka sebagai pasangan duet.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 1:33 PM