Penonton patuhi SOP.
Penonton patuhi SOP.
Georgie Joseph


PANGGUNG wayang yang ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu kembali bernafas selepas ia kembali beroperasi sejak dua minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif TGV Cinemas, Yeoh Oon Lai berkata, pihaknya lega dengan pertambahan jumlah penjualan tiket konsisten setiap minggu ditambah dengan promosi menarik ditawarkan.

Dalam masa sama, keyakinan penonton terhadap penetapan operasi keselamatan di premis juga semakin meningkat.

"Jualan tiket memang berterusan meningkat selepas dua minggu pembukaan semula panggung wayang. Kami tidak mensasarkan angka spesifik kerana membina keyakinan pelanggan adalah fokus utama kami ketika ini.

"Ketika ini kami membuat tayangan semula filem tergendala di mana pelanggan perlahan-lahan membiasakan diri dengan skrin besar semula. Keselesaan mereka juga semakin meningkat dengan persekitaran baharu panggung wayang.

"Kami mendapati pendapatan juga meningkat dari minggu pertama ke minggu kedua seiring kesedaran terhadap suasana baharu ini. Promosi menarik tiket wayang dan tawaran makanan serta minum serendah RM5 juga cukup popular," katanya.

Berkongsi mengenai pematuhan prosedur standard operasi (SOP) pula, Oon Lai berkata, tiada isu dalam aspek itu di mana orang ramai memang sedia maklum mengenainya.

Amalan penjarakan sosial dalam panggung wayang GSC.
Amalan penjarakan sosial dalam panggung wayang GSC.

"Kebanyakan pelanggan lebih memilih untuk membeli tiket secara dalam talian seperti disarankan. Transisi dalam pematuhan SOP memang sangat lancar dan rata-rata orang ramai mematuhinya dengan baik. Masih ada juga sejumlah kecil pelanggan yang membeli tiket pada saat-saat akhir, namun rata-ratanya sudah memanfaatkan pembelian termasuklah makanan dan minuman menerusi dalam talian," katanya.

Pengurus Perhubungan Awam dan Jenama Golden Screen Cinema (GSC), Sharmaine Ishak berkata, dua minggu pertama sudah cukup meriah dengan penayangan dua filem eksklusif anime di premis itu.

"Kami sangat teruja dengan reaksi positif daripada pelanggan. Dua minggu pertama, filem eksklusif kami, Digimon Adventure dan My Hero Academia dipromosikan secara luar biasa sehingga Digimon menjadi filem paling laris di Malaysia dalam tempoh itu.

"Lebih 150,000 tiket terjual seluruh negara dalam dua minggu pertama itu dan angkanya terus meningkat sebaik filem sekuel Train to Busan, Peninsula dimulakan tayangannya. Ini petanda sangat baik pelanggan lebih memilih pengalaman menonton skrin besar yang tidak boleh dinikmati di rumah.

"Kami menjangkakan lebih ramai pelanggan bakal kembali menonton di panggung wayang dengan penayangan filem pecah panggung pada masa akan datang," katanya.

Sharmaine berkata, penonton juga tahu menjaga keselamatan diri dan melakukan pematuhan SOP yang terbaik di samping GSC sendiri tidak putus memberi iklan peringatan mengenai perkara itu.

"Memang tiada isu mengenai pematuhan terhadap SOP dan mereka sangat berhati-hati dan mengambil berat kebersihan serta kesejahteraan mereka.

"Bagaimanapun, kami konsisten untuk berterusan memberi penekanan terhadap langkah keselamatan dan pencegahan menerusi media sosial serta platform digital kami yang lain. Kesihatan dan keselamatan mereka tentu sekali masih lagi keutamaan nombor satu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 5:05 PM