SHARNAAZ AHMAD
SHARNAAZ AHMAD
Najiy Jefri


"SOAL jodoh adalah rahsia Allah, saya tidak simpan apa-apa dendam dengannya. Ini semua takdir yang sudah tertulis," kata pelakon Sharnaaz Ahmad mengenai berita perceraiannya dengan Noor Nabila pada 9 Julai lalu secara hakam.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak, Sharnaaz berkata, fokusnya kini adalah untuk memastikan anak mereka, Jebat Jayden, 1, mendapat kasih sayang yang sepenuhnya daripada mereka.

"Kami berpisah secara baik. Alhamdulillah kami tiada sebarang masalah malah kami berkawan dan berpisah secara baik. Kami juga sudah saling bermaafan.

"Kita manusia hanya mampu merancang tapi Allah yang tentukan. Mungkin saya ini bukan suami yang baik tapi saya tidak pernah membuat hal yang melampaui batas.

"Keutamaan kami sekarang adalah membesarkan Jebat dengan memberikan apa yang terbaik. Saya tidak akan biarkan Jebat rasa kehilangan seorang bapa sebab sehingga hari ini saya tidak lupa untuk berjumpa dengannya walaupun sibuk atau sakit sekali pun," katanya.

Sharnaaz berkata, berpisah adalah jalan terbaik buat mereka dan apa yang penting adalah tidak bermusuhan antara satu sama lain.

"Alhamdulillah saya dapat pelepasan daripada Nabila untuk berjumpa Jebat bila-bila masa dan di mana saja. Bagi saya ini satu benda yang baik. Saya akan ambil kesempatan ini untuk sentiasa bersama Jebat dan akan bersamanya sampai bila-bila," katanya.

Menurut Sharnaaz, dia belum terfikir untuk mencari pengganti buat masa ini kerana ada perkara yang lebih mustahak.

"Saya tidak mahu fikir mengenai pengganti kerana apa yang penting saat ini adalah anak. Itu sudah mencukupi. Saya dan Nabila sekarang sedang berusaha membesarkan Jebat dengan sebaik mungkin. Saya ingin berterima kasih kepada Nabila untuk setiap memori dan sekarang ini adalah fasa baharu untuk saya.

"Saya doakan kepada mana-mana individu yang sudah berkahwin untuk jaga perhubungan sebaik mungkin. Jangan tiru macam saya sebab kebahagiaan itu penting," katanya.

Terdahulu, Nabila mengesahkan dia sudah bercerai dengan Sharnaaz pada 9 Julai lalu secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden, 1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 3:42 PM