PEGAWAI Baitulmal MAIWP ketika menziarahi Alina. FOTO Ihsan Alina
PEGAWAI Baitulmal MAIWP ketika menziarahi Alina. FOTO Ihsan Alina
Ridzuan Abdul Rahman

 

"YA Allah kecilnya bilik ini kak. Ini kata-kata spontan yang keluar daripada mulut empat pegawai Baitumal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang terkejut melihat keadaan bilik saya," cerita penyanyi Alina Hassan apabila menerima lawatan mereka yang mahu melihat situasi sebenar dirinya kepada Harian Metro.

Kunjungan yang berlangsung, semalam itu dibuat berikutan kisah juara program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 dan pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018 ini tular apabila menghuni bilik berkeluasan 1.5 meter X 2.4 meter di sebuah rumah kedai di Setapak, Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.

Alina, 52, berkata, dia menjelaskan kepada mereka keluasan bilik bukanlah ukuran, sebaliknya isu aurat menjadi kebimbangannya apabila bercampur dengan bukan muhrim yang turut menyewa bilik di rumah kedai sama.

"Saya dah bertahan dua tahun di bilik ini dan tak pernah mengeluh. Cuma apabila penyanyi Safura datang tengok, dia bersimpati dan mahu bantu saya.

"Saya cuma berkongsi cerita dengan pegawai ini berkenaan anak kedua saya, Mohd Alif, 19, yang menghidap autisme dan perlukan perhatian penuh daripada saya. 

"Namun buat masa ini terpaksa tinggal dengan ayah dan ibu tirinya buat sementara kerana saya belum mampu ada rumah," katanya.

Menurutnya, menerusi perbincangan yang berlangsung, pihak Baitumal MAIWP memintanya menyewa rumah di bawah paras harga RM700 di Kuala Lumpur.

"Kalau sewa rumah lebih dari RM700, saya kena bayar sendiri bakinya. Saya diberikan borang untuk diisi dan sertakan dokumen yang perlu.

"Mereka kata bantuan wang Baitumal yang diterima saya setiap boleh dinaikkan lagi. Saya kena tunggu perkembangan selanjutnya dalam isu ini.

"Apapun saya berterima kasih kepada semua pihak terutamanya masyarakat yang mendoakan dan Baitumal MAIWP yang membantu," katanya.

 Menurutnya, apa yang tergambar difikirannya sekarang ialah keseronokan membawa Mohd Alif tinggal bersamanya nanti.

 Alina sebelum ini sudah lama memohon bantuan rumah daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun perlu menunggu giliran untuk mendapatkannya.

 Sementara itu, Penolong Pegawai Baitumal MAIWP, Muhammad Ishak Zulkifly berkata, penilaian yang dibuat mereka mendapati bilik terbabit kurang sesuai buat Alina.

"Kami ada buat semakan dan mendapati dia memang penerima bantuan kewangan bulanan Baitumal sedia ada. Bahkan bilik yang disewanya juga Baitumal tolong bayarkan.

 "Ada dua bantuan diberikan iaitu bantuan kewangan bulanan sekitar RM300 dan bayaran bilik RM250 yang dibayar terus kepada tuan rumah.

"Kami sempat beritahu dia, kalau jumpa bilik yang lebih selesa atau rumah yang lebih baik, Baitumal bersedia nak bantu untuk bayarkan," katanya. 

 Menurutnya, harga sewa yang diluluskan ialah sehingga RM700, manakala untuk deposit pula RM1600.

 Ishak turut berkata, kebetulan bantuan yang diterima Alina sudah mencecah setahun pada bulan ini dan mereka menasihatkannya agar membuat penyambungan dengan Baitumal MAIWP.

 

Berita berkaitan

Safura terkedu, tak boleh tidur lepas lihat bilik sewa Alina

Alina Hassan kini menghuni bilik kecil

'Baru ada satu tawaran cuci rumah'

Alina Hassan makan sekali sehari

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 12:19 PM