ARIFF Bahran. FOTO IG ariffbahran
ARIFF Bahran. FOTO IG ariffbahran
Norhayati Nordin

"SOAL cinta baharu, saya akan profesional menjawab perkara itu dan takkan mengelak diri untuk berkongsi dengan peminat," kata penyanyi dan komposer Ariff Bahran.

Bahran atau nama sebenar Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, 22, bagaimanapun menjelaskan perkongsiannya mengenai kisah peribadi takkan berlebihan.

"Saya memilih untuk berkongsi kisah cinta secara berpada-pada sahaja. Tidak terlalu berlebihan daripada urusan kerjaya seni.

"Berkongsi kisah cinta kepada peminat, dari sudut positif okay buat seseorang selebriti. Cuma, tidak perlu lebih terperinci dan begitu terbuka," katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi lagu Kata Akhirmu, Juara Dusta dan Bicara Rasa ini, perkongsian yang tidak berlebihan mengenai kisah peribadi  diyakini boleh diterima baik peminat.

Baru-baru ini, Bahran mendedahkan hubungan percintaannya dengan wanita yang bekerja dalam produksi penerbitan sudah putus sejak Mac lalu.

Menganggap hubungan dengan wanita dikenalinya lebih setahun lalu itu tiada jodoh, Bahran berkata kini dia lebih selesa memberi tumpuan pada kerjaya seni sepenuhnya.

Enggan berkongsi punca hubungan cinta itu putus, Bahran menjelaskan tidak ada apa yang perlu terus dikenang lagi. Katanya, dia kini mahu mengejar hala tuju hidup.

Apatah lagi, Bahran juga baru muncul dengan lagu baharu berjudul Usah yang memberi peluang kepadanya menyanyikan genre muzik R&B pop.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 1:32 PM