FIKRY. FOTO Arkib NSTP
FIKRY. FOTO Arkib NSTP
Georgie Joseph

PELAKON dan pengacara, Fikry Ibrahim bakal mengenakan caj tambahan RM5 untuk perkhidmatan yang diberikan di salun miliknya, Dashing Diva Putrajaya yang dibenar kembali beroperasi Rabu ini.

Ia susulan hasil perbincangan dibuat Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA) berikutan pengusaha perlu menyediakan peralatan tambahan bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ya, saya pun akan menaikkan caj perkhidmatan mengikut harga ditetapkan MBBA disebabkan kos tambahan bagi peralatan SOP memang tidak dapat dielakkan. Apatah lagi, selepas ini corak perkhidmatan sudah berubah dan kawalan keselamatan kena lebih ketat.

"Bukan saja untuk pelanggan, saya juga perlu memastikan keselamatan pekerja juga. Disebabkan mereka akan berjumpa pelanggan yang berbeza, mereka perlu pakai buang setiap peralatan seperti topeng muka setiap masa.

"Justeru, saya rasa caj tambahan itu sangat relevan dan perlu dilaksanakan. Mungkin ia akan jadi beban buat sesetengah orang tapi kita harus ingat penggunaan segala alat itu amat penting dan menelan kos," katanya.

Pelakon Cik Reen & Encik Ngok Ngek itu juga mengakui sangat lega apabila kerajaan akhirnya membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semula selepas tiga bulan terjejas daripada segi pendapatan.

"Pertama, saya ingin memanjatkan rasa syukur sebab dapat kembali beroperasi. Alhamdulillah selepas pengumuman perdana menteri semalam, Dashing Diva Putrajaya menerima tempahan dan temu janji yang ramai dan saya terkejut dengan respon diterima.

"Saya percaya ramai wanita yang menunggu saat ini untuk memotong rambut dan mencantikkan diri selepas lebih tiga bulan tidak dapat ke salon. Tipulah kalau saya katakan perniagaan selama tiga bulan ini tidak terjejas.

"Terima kasih kerajaan kerana mendengar segala keluhan dan masalah dihadapi rakyat. Sebagai pemilik salun khusus untuk kaum hawa, saya akan menjaga SOP dan mengikut syarat ketat yang diberikan," katanya.

Terdahulu, MBBA mencadangkan untuk meningkatkan kos perkhidmatan kedai gunting dengan kenaikan paling rendah antara RM3 hingga RM5 seorang. Caj itu berikutan pengusaha perlu menyediakan peralatan tambahan bagi memenuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 3:24 PM