ZAKARIA. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ZAKARIA. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Norhayati Nordin

KEJAYAAN filem Syif Malam Raya yang berjaya mengutip RM3 juta dalam tempoh 10 hari tayangan di saluran Astro First boleh dianggap kejayaan luar jangka dalam situasi normal baharu ketika ini.

Berikutan penularan pandemik Covid-19, menonton filem di pawagam bukan lagi pilihan  utama apabila tayangan harus ditangguhkan sehingga krisis ini selesai sepenuhnya.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Zakaria Abdul Hamid berkata, ia adalah perubahan yang baik dalam penerbitan filem di Malaysia.

"Tahniah buat penerbit yang memberi satu bentuk pemasaran yang lebih dinamik dan inovatif sekali gus membawa kejayaan kepada filem ini. Saya berharap akan ada lebih banyak lagi kejayaan filem tempatan apabila ditayangkan di saluran berbayar selepas ini pada ketika kita menghadapi cabaran getir Covid-19 yang belum tamat," katanya.

Filem komedi seram arahan Prof Datuk Dr A Razak Mohaideen itu dibintangi Atu Zero, Reen Rahim, Ropie, Yoe Parae, Syahmi Sazli, Asif Suhaimi dan ramai lagi.

Menurut Zakaria, industri penerbitan filem tempatan dan dunia kini amat terkesan dengan perubahan drastik akibat Covid-19.

Katanya, dilema terus dirasakan oleh pengiat filem tanah air apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawasaln Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksana kerajaan serta harus akur dengan peraturan baharu. Secara tidak langsung, segala perancangan untuk menayangkan filem di pawagam menemui jalan buntu.

Sehubungan itu, Finas dengan kerjasama Astro dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) bersama mencari jalan penyelesaian untuk memenuhi permintaan penonton serta membuka ruang buat penerbit untuk persembahkan karya mereka menerusi normal baharu dengan corak menonton yang berubah apabila masa kini lebih banyak di rumah.

Sementara itu, Presiden PFM, Pansha berkata, kutipan tinggi filem Syif Malam Raya adalah satu pencapaian terbaik bagi filem tempatan yang ditayangkan di Astro First sepanjang sambutan Aidilfitri baru- baru ini.

"Kutipan pecah panggung ini amat ketara sekiranya dibandingkan statistik kutipan di pawagam sejak lima tahun lalu pada setiap tayangan ketika sambutan Syawal. PFM mengucapkan setinggi tahniah kepada penerbit dan pihak Astro First," katanya.

Menurutnya, dia gembira melihat platform saluran itu sentiasa berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat negara ini untuk menikmati hiburan terbaik sepanjang tempoh PKP dan PKPB. Terima kasih juga kepada penonton yang sentiasa memberi sokongan kepada filem tempatan.

Pansha berkata, PFM kini semakin yakin dan percaya pasti ada lebih banyak filem tempatan yang bermutu dan berkualiti akan ditayangkan di Astro First pada masa akan datang.

 

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 8:05 AM