Puteri Aishah
Puteri Aishah
Najiy Jefri

 

SELAMA sembilan hari dirawat di Hospital Sungai Buloh selepas disahkan positif Covid-19, pelakon Puteri Aishah kini beransur pulih dan tidak lagi berdepan masalah untuk menyesuaikan diri. 

Puteri ketika dihubungi berkata, ini adalah pengalaman kali pertamanya ditahan wad dan dibawa menaiki ambulans pada 8 April lalu. 

"Ketika disahkan positif wabak ini saya tak nafikan memang agak terkejut dan sedikit tertekan kerana selama ini jarang dengar pesakit yang tiada simptom. Tapi saya reda dan mengikut segala prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

"Pada hari pertama dirawat memang  terpinga-pinga dan bingung untuk hadam apa yang berlaku .Banyak maklumat yang diberikan saya ambil masa untuk faham. 

"Malah keadaan saya juga lemah pada hari pertama dan kedua apabila kerap muntah dan tiada selesa makan. Barangkali disebabkan tindak balas ubat yang diberikan atau gastrik. 

"Saya ditempatkan di bilik rawatan tahap ketiga berbanding tahap kelima yang lebih serius. Selepas beberapa hari di sini saya semakin stabil dan sudah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di sekeliling," katanya. 

Menurut Puteri, sekiranya ujian yang bakal dilakukan pada 18 April ini mendapati dirinya negatif dia boleh dibenarkan pulang ke rumah.

"Alhamdulillah keadaan kesihatan juga sudah semakin baik. Hanya lima hari saja saya bergantung dengan ubat dan sekarang ini jururawat hanya memeriksa tekanan darah saja. 

"Saya tidak dimaklumkan tarikh spesifik boleh keluar hospital, tapi sekiranya ujian yang bakal dilakukan pada 18 April ini negatif, saya boleh dibenarkan pulang," katanya. 

Kongsi Puteri, antara aktiviti yang dilakukan di dalam wad adalah memastikan dirinya rehat dengan cukup, solat, makan mengikut waktu dan tonton drama atau filem. 

"Selain itu, saya juga berkawan dengan pesakit lain dalam wad ini. Kami banyak berborak mengenai bagaimana wabak ini boleh berlaku. 

"Pesakit juga tidak dibenarkan keluar daripada wad. Kalau nak pesan sesuatu pun kami perlu menghubungi nombor yang diberikan, barulah jururawat akan datang membantu," katanya. 

Dalam pada itu, Puteri berterima kasih kepada petugas barisan hadapan yang sentiasa mengawasi dan menjaga pesakit dengan baik. 

" Saya kesian melihat keadaan petugas barisan hadapan yang perlu memastikan diri mereka selamat supaya dapat menjaga kami dengan baik. 

"Ada yang beritahu kepada saya pakaian perlindungan (PPE) yang dipakai sangat panas, malah saya juga sedih apabila ada jururawat yang terpaksa membuat sendiri Face Shield (pelindung muka) untuk melindungi diri. Mungkin sudah kehabisan stok. 

" Kalau boleh tolong untuk membuat pelindung muka di dalam wad buat mereka, saya sudah bantu tapi itulah bimbang risiko yang bakal mereka hadapi nanti," katanya. 

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 5:59 PM