DATUK Jurey Latiff Rosli. FOTO Asyraf Hamzah
DATUK Jurey Latiff Rosli. FOTO Asyraf Hamzah
Norhayati Nordin


PRESIDEN Persatuan Penerbit Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli meminta semua warga industri seni termasuk penerbit jangan membuat isu yang boleh menimbulkan kemarahan masyarakat pada ketika penularan wabak Covid- 19 dan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga 28 April ini.

Jurey berkata, dia tidak mahu masyarakat terutama warganet terus salah anggap pada penggiat industri kerana tidak peka dan bersikap pentingkan diri dalam pada barisan hadapan (frontliners) bertungkus-lumus merawat untuk menyelamatkan nyawa pesakit yang dijangkiti wabak itu.

"Janganlah buat isu untuk bagi orang ramai marah. Tolong fikir keselamatan masyarakat. Jangan disebabkan kita nak sangat pergi menjalani penggambaran, lepas itu jadi punca tambah jangkitan dan wujud pula kluster baru membabitkan warga industri.

"Pada masa sekarang, sebaiknya ikut saja dahulu semua yang sudah disarankan kerajaan supaya duduk di rumah sehingga kes ini selesai.

"Saya minta beri kerjasama dan kalau nak ikut terjejas, ia meliputi banyak sektor pekerjaan yang lain. Bukan hanya industri dan warga seni sahaja. Justeru, persatuan PTVM tidak menyokong isu cuba ditimbulkan beberapa penerbit meminta warga industri diberi kelonggaran oleh kerajaan supaya boleh keluar meneruskan penggambaran," katanya.

Menurut Jurey, dalam situasi negara sekarang, dia percaya ramai kru produksi termasuk pelakon yang tidak mahu pergi menjalani penggambaran kerana akan terdedah dengan risiko jangkitan wabak penyakit.

"Cuba fikir, jika nak teruskan penggambaran dalam rumah, siapa nak bagi sewa dalam keadaan sekarang? Ada tidak pusat membeli-belah beroperasi? Banyak perkara perlu diambil kira.

"Kalau ada produksi cakap nak ikut segala syarat pencegahan keselamatan seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), saya yakin bagi mereka yang mahir dalam penerbitan sudah tentu tahu akan berhadapan dengan ramai orang ketika penggambaran dijalankan. Begitu juga dengan jarak sosial sukar dipraktikkan dan bagaimana pula dengan yang menguruskan peralatan, hidangan makanan dan hal-hal lain,” katanya.

Mengulas mengenai kebimbangan segelintir penerbit terhadap kontrak dengan stesen TV termasuk menjejaskan tarikh tayangan, Jurey berkata pihaknya sudah menghantar surat meminta kerjasama daripada semua stesen penyiaran tanah air supaya tidak memberi tekanan kepada penerbit untuk menyiapkan produk drama mereka.

Ujarnya, setakat ini tidak timbul isu pihak stesen TV akan menekan penerbit kerana semuanya akur pada arahan kerajaan sepanjang PKP ini. Apatah lagi, di ibu kota sudah banyak lokasi diletakkan sebagai zon merah.

"Apa pun, sekiranya ada penerbit menghadapi masalah dengan stesen TV akibat PKP boleh menghubungi PTVM untuk khidmat nasihat dan saya akan berusaha membantu penerbit yang bermasalah itu.

"Saya mohon rujuk dahulu masalah dihadapi kepada persatuan dalam isu yang membabitkan kepentingan industri TV. Pada ketika ini, kita semua perlu bekerjasama dan saling membantu untuk mengatasi dugaan besar negara," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan ada beberapa penerbit menyuarakan hasrat mereka supaya kerajaan sedia memberi kelonggaran untuk keluar shooting dan memberi jaminan akan mematuhi segala syarat pencegahan keselamatan ditetapkan KKM.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 2:42 PM