SONG Hye Kyo
SONG Hye Kyo
Georgie Joseph

SETIAP selebriti semestinya perlukan masa untuk beristirehat dan menenangkan fikiran di luar daripada jadual kerja.

Bagi mereka, itulah masa terbaik untuk memberi ruang kepada diri menikmati waktu bersendirian.

Bagi pelakon Song Hye Kyo, dia sentiasa mendapatkan ketenangannya pada tengah malam.

Yang pasti, dia akan menggunakan masa bersendirian itu untuk melepaskan semua resah di hati.

Perkara itu dikongsinya sewaktu menghadiri satu acara baru-baru ini sewaktu ditanya dia lebih sukakan waktu pagi atau tengah malam.

“Secara peribadi, saya sangat seronok menikmati waktu tengah malam. Saya rasa dapat melakukan banyak perkara dengan masa terluang yang saya ada,” katanya.

Song Hye Kyo juga mengakui dia akan menjadi diri sendiri setiap kali meluangkan masa bersama orang tersayang.

“Saya merasa jadi diri sendiri setiap kali makan dan berborak dengan orang tersayang. Pada waktu itulah saya berada dalam keadaan diri yang tidak perlu berpura-pura,” katanya.

Meniti pertambahan usia, pelakon terbabit juga tidak melihat perkara itu perlu dirisaukan mahupun menggugat keyakinan diri.

Akuinya, tiada beza pun dan gembira apabila ramai yang masih berada di sisinya.

“Orang yang saya jumpa sewaktu saya masih muda masih lagi setia di sisi sehingga sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 7:20 AM