Georgie Joseph


PENYANYI Tajul meminta warganet untuk berhenti membandingkan artis Malaysia dengan Korea Selatan (K-Pop) dari segi bantuan dalam tempoh krisis penularan wabak Covid-19 ini.

Tajul atau nama penuhnya Tajul Ariff Noor Md Shari, 21, berkata, isu itu sepatutnya tidak diperbesar memandangkan tahap pendapatan artis K-Pop jauh lebih tinggi.

“Artis Korea memanglah kaya. Kalau tengok mereka datang buat persembahan di Malaysia, berapa juta pula kena bayar? Berapalah sangat artis tempatan dibayar jika nak dibandingkan dengan mereka.

“Kalau persembahan artis kita dibayar harga sama, saya sendiri pun boleh bagi bantuan kepada rakyat. Tidak semua artis Malaysia kaya, ada ‘job’ banyak, kalau tak ada nak ‘lebat’ apa?

“Biasalah sesetengah warganet tak boleh tengok artis kita silap sedikit, bagi bantuan salah, tak bagi pun salah. Mereka tahukah artis kita ada bagi bantuan atau tidak? Kalau tak tahu, lebih baik diam dan jangan timbulkan fitnah,” katanya kepada Harian Metro.

Tajul mengakui dia juga peminat K-Pop, namun terkilan apabila penggiat seni tempatan menjadi kecaman apabila mengusulkan mengenai bantuan kepada yang terjejas.

“Ini bukan salah artis Korea pun. Yang bermasalah dan jadikan hal ini besar adalah sesetengah warganet. Tak berhenti nak kecam.

“Penggiat seni bukan sekadar artis, ramai kru TV, jurukamera, prop, jurusolek, dan sebagainya di mana jika tiada tawaran, tiadalah pendapatan mereka. Macam artis lain yang mungkin ada perniagaan sendiri, tidak perlu risau kalau tiada tawaran,” katanya.

Bagaimanapun, penyanyi Melamar Rindu itu lebih memilih untuk bersedekah dalam diam jika perlu seperti diusulkan penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Kalau saya, lebih baik tidak berkongsi dan ikut apa yang Datuk Seri Siti cakap. Nanti kalau beritahu warganet pun salah, tak beritahu pun salah, maka lebih baik diam,” katanya.

Terdahulu, penyanyi Black Hanifah dan Tomok meminta kerajaan tidak meminggirkan kumpulan penggiat seni dengan memberi bantuan khusus. Mereka berkata, PKP yang dilaksanakan turut menjejaskan ‘periuk nasi’ penggiat seni tempatan.

Bagaimanapun, kenyataan mereka itu dipertikaikan warganet selain membandingkan dengan cara artis Kpop yang menderma bagi membantu mangsa Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 12:53 PM