ZIZIE Ezette. FOTO arkib NSTP
ZIZIE Ezette. FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin


PELAKON Datin Seri Zizie Ezette, 42, tidak berhasrat untuk menceburi kerjaya politik seperti suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Zizie ketika ditemui berkata, beliau tiada bakat menjadi ahli politik walaupun untuk perwakilan wanita.

"Saya tak pandai berucap dan seorang yang gugup. Terus-terang, saya takut bercakap atau berucap depan orang ramai.

"Kalau saya beri ucapan ringkas dalam majlis yang dihadiri pun, hanya Allah yang tahu bagaimana perasaannya ketika itu.

"Saya sedar kebolehan diri. Malah, saya akur tidak memiliki bakat boleh berucap macam suami," katanya kepada Harian Metro.

Pemilik nama sebenar Zizie Ezette Abdul Samad ini memaklumkan beliau sangat kagum dengan suaminya.

"Suami saya kalau sebelum nak berucap pun, beliau masih boleh berehat dahulu dalam kereta.

"Apabila sampai di majlis yang dihadiri, beliau tetap boleh berucap dengan penuh semangat. Saya tak ada kebolehan dan bakat itu," katanya.

Menurut Zizie, bagaimanapun beliau tiada masalah untuk melakonkan watak sebagai ahli politik.

"Kalau berlakon, saya tak apa, ada skrip. Apatah lagi, ia sekadar tuntutan watak saja dan bukan diri sendiri.

"Dalam lakonan, saya faham kena jadi orang lain. Itu tak apa kerana bagi merealisasikan watak semata-mata.

"Untuk realiti pula, saya memang tidak ada keinginan terbabit dalam politik atau nak jadi ahli politik," katanya.

Zizie yang pernah muncul berlakon drama Hero Seorang Cinderella pada 2017 berkata beliau juga tidak campur tangan urusam politik suaminya.

Ujarnya, beliau hanya suka membaca dan mengikuti perkembangan politik kerana sebagai rakyat Malaysia sewajarnya untuk ambil tahu perjalanan politik tanah air.

Zizie yang juga kakak pelakon Shaheizy Sam bernikah dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah, Bung Moktar pada 2009.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga anak iaitu kembar Aadam Zac Izette, 3 dan Aaleph Zeke Izette, 3, serta Aalisa Belle Izete, berusia setahun.

Selain itu, Zizie dan suami juga mempunyai dua anak angkat iaitu Naila Nurjenna, 5, dan Aaric Zayn Izete, 3.

Baru-baru ini, Zizie hadir pada majlis menandatangani kontrak anak-anaknya yang dipilih sebagai duta produk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 4:28 PM