ALIFF menangis air mata darah.
ALIFF menangis air mata darah.
Syafil Syazwan Jefri


USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri meluahkan rasa kesal terhadap sikap masyarakat yang sentiasa mengecam dirinya.

Menerusi video pendek yang dikongsikan di Instagram, Aliff turut memuat naik ‘teaser’ video muzik lagu terbaharunya Ku Ingin Bahagia yang seolah-seolah menceritakan situasi dilalui kini.

"Ketika saya difitnah, orang mengecam melampau-lampau dan saya terdiam bukan sebab saya bersalah, tetapi biar pihak berkuasa yang menjalankan tugas. Kalau bukan salah saya, biarkan korang (kalian) tanggung nanti. Saya sedih. Apa pun, saya maafkan sahaja," katanya.

Aliff berkata, apa yang penting dalam hidupnya adalah kebahagiaan.

"Bagi saya, tiada benda lain di dalam dunia ini yang paling berharga iaitu kebahagiaan. Ya Allah, Ya Tuhanku Engkau kuatkanlah hati ini. Engkau kuatkanlah iman aku sebaiknya.

"Aku sentiasa tabah untuk meneruskan kehidupan ini dan engkau berikanlah aku kebahagiaan kerana tiada benda yang paling penting selain kebahagiaan," katanya.

Menerusi video itu, Aliff memohon sokongan daripada peminat supaya lagu terbaharunya itu berjaya melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) tahun depan.

Video yang dimuat naik itu memaparkan Aliff menangis air mata darah.

Video itu sudah mencecah tontonan lebih 700,000 dengan lebih 8,000 komen.

Seperti biasa, status itu mendapat pelbagai komen dan maklum balas daripada warganet yang rata-rata menganggap tahap vokal dan kemampuan nyanyian Aliff tidak sesuai dengan kriteria untuk menyertai acara berprestij itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 7:07 PM