HAFIZ Hamidun bersama anak angkatnya. FOTO Instagram Hafiz Hamidun
HAFIZ Hamidun bersama anak angkatnya. FOTO Instagram Hafiz Hamidun
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI dan komposer, Hafiz Hamidun menegaskan tindakannya mengambil anak angkat lelaki yang diberi nama Hamdee Abdul Hafiz bukan untuk meraih populariti.

Malah, Hafiz, 36, berkata, dia juga tidak akan ‘menjual’ bayi itu di laman sosial bagi tujuan kandungan Instagram atau YouTube.

“Niat saya ambil angkat supaya ada yang boleh menjaga saya nanti. Bukan nak mencipta populariti dengan menjadikan dia ‘content’. Lagi pula, pada usia sekarang yang semakin meningkat, jodoh pun belum ada.

“Cuma, tidak bermaksud saya tidak mahu berkahwin. Insya-Allah, kalau ada jodoh, calon itu bukan saja kena terima saya, tapi anak ini juga.

“Paling penting, apabila ambil anak angkat ini ia adalah amanah untuk kita. Kena jaga sebaiknya. Malah, saya mahu dia membesar secara semula jadi,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi lanjut mengenai bayi yang diambil sejak Isnin itu, Hafiz berkata perkara itu tidak dirancang.

“Selama ini memang terfikir nak ambil anak angkat, tapi tidak ada usaha ke arah itu. Tapi, Sabtu lalu saya ada menyuarakan hasrat pada pembantu peribadi.

“Keesokannya, saya mendapat panggilan daripada ejen yang bertanya sekiranya saya mahu mengambil anak angkat. Saya macam tak percaya. Pihak itu pula perlukan persetujuan segara.

“Saya terus menghubungi mak dan berbincang. Apabila mak cakap saja okay, saya terus bersetuju dan terus memberikan nama untuk didaftarkan. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan dan segala urusan selesai Isnin lepas,” katanya.

Terdahulu, Hafiz menimbulkan tanda tanya apabila memuat naik gambar seorang bayi dengan kapsyen yang seakan mengakui sudah bergelar bapa.

Hafiz sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan kosmetik, Joy Revfa pada 1 Mei 2017 namun mereka bercerai pada 25 Oktober 2017.

Berita berkaitan

Hafiz teruja ada anak..

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 2:03 PM