SOPHIA Liana. FOTO Mahzir Mat Isa
SOPHIA Liana. FOTO Mahzir Mat Isa
Georgie Joseph

PENYANYI yang juga anggota kumpulan DeFam, Sophia Liana akan terus berpegang kuat dengan prinsip diri untuk tidak berkongsi hal peribadi kepada umum di media sosial.

Menurut Sophia, perkara itu atas kemahuannya sendiri untuk tidak mendedahkan keluarganya apatah lagi kisah cintanya.

“Sebenarnya antara saya, Azira, dan Manggis, saya paling susah nak berkongsi mengenai hal peribadi dalam media sosial termasuklah tunjuk siapa keluarga saya.

“Saya memang simpan rapat mengenai hal peribadi dan lebih selesa berkongsi aktiviti kerjaya seni saja.

“Tapi, saya akur sekiranya terdapat pengguna laman sosial akan cuba menyelongkar mengenai hal peribadi saya. Kalau terjumpa pun, apa yang saya boleh cakap itu adalah cerita lama,” katanya.

Sophia juga bersyukur sepanjang berada dalam industri muzik, imejnya masih bersih serta terjaga rapi.

Disebabkan itu juga, Sophia mengakui dia kurang terpalit kecaman.

“Apa saja yang ditunjuk depan umum adalah imej yang warganet boleh terima. Alhamdullilah, kebanyakan komen yang saya dapat pun lebih positif berbanding kecaman.

“Saya gembira apabila ramai ambil tahu mengenai saya disebabkan suka dengan cara kerja saya dalam bidang ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 4:36 PM