LETAK harapan supaya Neelofa kembali buat kejutan di acara AME2020. FOTO Mahzir Mat Isa
LETAK harapan supaya Neelofa kembali buat kejutan di acara AME2020. FOTO Mahzir Mat Isa
Syafil Syazwan Jefrisyafil


MENGGALAS tanggungjawab untuk tahun ketujuh sebagai pengacara program Meletop dan Anugerah Meletop Era (AME) memberikan ruang kepada Nabil Ahmad untuk melihat prestasi dirinya.

Tahun ini, Nabil sekali lagi bakal mengacarakan acara itu, tetapi tanpa kehadiran rakan sejawatnya yang juga bekas pengacara Meletop, Neelofa.

Bakal bergandingan dengan Jihan Muse, Nabil bagaimanapun masih meletakkan harapan supaya Neelofa kembali membuat kejutan di acara AME2020 tidak lama lagi.

“Saya harap dia buat kemunculan istimewa. Pada saya, usia Meletop sudah mencecah tujuh tahun dan penonton sentiasa mengharapkan supaya ada sesuatu yang berlaku dalam setiap acara AME,” katanya.

Menurutnya, perlu ada kejutan untuk memastikan program itu sentiasa diingati dan disebut.

“Kami tak boleh sekadar hiburkan penonton, tapi juga perlu sajikan kejutan atau sesuatu yang tular untuk acara itu. Sama ada ia dirancang atau tidak, sesuatu perlu berlaku pada malam itu,” katanya.

Diminta mengulas mengenai kategori Artis Lawak Meletop yang digugurkan daripada senarai kategori bertanding dan digantikan dengan kategori Artis Versatil Meletop, Nabil menganggap itu adalah mengikut peredaran arus waktu.

“Ia adalah satu perubahan yang masuk akal. Mungkin ada pelawak yang terasa hati dengan perubahan ini, tapi bagi saya, ia satu penambahbaikan.

“Bagi saya, pelawak di Malaysia hari ini serba boleh. Mereka tak hanya melawak, tetapi juga ada bakat lain contohnya, berlakon, menyanyi dan mengacara,” katanya.

Tambahnya, itu juga patut dilihat sebagai motivasi untuk memajukan diri.

“Saya bermula sebagai pelawak dan kemudian, saya kembangkan bakat saya dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

“Pandang perubahan ini sebagai satu perkara positif untuk jadikan kita semua lebih berkemampuan dalam melakukan apa juga bidang atau cabang seni,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 6:15 AM