IRFAN sudah melakukan pemeriksaan di klinik dan bertemu pakar mata, namun, matanya masih lagi merah. FOTO Instagram Irfan Haris
IRFAN sudah melakukan pemeriksaan di klinik dan bertemu pakar mata, namun, matanya masih lagi merah. FOTO Instagram Irfan Haris
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Irfan Haris berkongsi mengenai jangkitan di bahagian mata sejak seminggu lalu, namun, menerima kecaman beberapa individu di Instagram yang mengaitkannya dengan perkara tidak bermoral.

Menurut Irfan, 19, dia sendiri tidak pernah melayan komen negatif, namun bertindak untuk memuat naik tangkap layar komen itu yang dirasakannya, melampaui batas.

"Selama tiga tahun aktif sebagai penyanyi, saya tak pernah melayan komen negatif mengenai diri ini.

“Namun, kali ini, saya rasa komen mereka keterlaluan dan kerana itu, saya muat naik tangkap layar di Instagram untuk jadikan pengajaran," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia tidak berniat untuk mengaibkan individu itu dan enggan bermusuh dengan sesiapa.

"Saya tak gunakan kata kesat di ruangan kapsyen dan menutup nama serta gambar mereka. Kalau berniat nak malukan mereka, saya biar saja nama dan gambar mereka dilihat," katanya.

Irfan bagaimanapun berterima kasih kepada beberapa pengikut di Instagramnya yang berkongsi tip untuk meredakan jangkitan di matanya.

"Dalam 10 orang, tak semua orang sukakan kita. Saya sedar hakikat itu. Apa pun, saya nak ucapkan terima kasih kepada pengikut di Instagram yang berkongsi tip berguna untuk meredakan sakit mata ini," katanya.

Irfan sebelum ini sudah melakukan pemeriksaan di klinik dan bertemu pakar mata, namun, matanya masih lagi merah.

"Kalau jangkitan ini masih tak hilang, saya akan ke hospital untuk melakukan pemeriksaan lanjut," katanya.

Terbaru, Irfan bakal hadir dengan single baru ciptaannya bersama abangnya, Haikal Iskandar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 5:54 PM