FITRI Haris bersama isterinya, Fazilah Omar.
FITRI Haris bersama isterinya, Fazilah Omar.
Syafil Syazwan Jetri


PENYANYI Fitri Haris, 35, memperkenalkan isterinya, Fazilah Omar, 32, yang dinikahinya, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Juara program realiti Gema Gegar Vaganza (GGV) musim kedua itu enggan memberitahu tarikh pernikahan dengan Fazilah yang juga pengurusnya kerana menghormati permintaan keluarga.

“Ibu saya ada menyuarakan hasrat untuk melihat saya berumah tangga kerana pada ketika itu, komitmen saya kepada pengajian Doktor Falsafah (PhD) saya pun dah nak selesai.

“Jadi, saya melakukan solat istiqarah beberapa bulan lalu dan saya nampak wajah Fazilah. Namun, tarikh perkahwinan kami tak mahu kongsikan kerana menghormati permintaan keluarga,” katanya kepada Harian Metro.

Fitri yang mula mengenali Fazilah ketika menyertai GGV pada awalnya menganggap Fazilah seperti keluarganya.

“Kami kenal antara satu sama lain ketika Fazilah menjadi pengurus saya di dalam program GGV dan pada awalnya, saya anggap dia seperti sebahagian daripada keluarga saya.

“Jadi, apabila sudah berkahwin dan bertentang mata, ada rasa kekok sedikit. Sebelum ini, saya ada rasa trauma untuk berkahwin, tapi sebenarnya saya ‘buta’ kerana jodoh saya rupanya ada di depan mata,” katanya.

Selain majlis resepsi yang diadakan secara tertutup hari ini, Fitri dan isteri sekali lagi akan diraikan dalam satu lagi majlis yang akan berlangsung esok di kediamannya di Semenyih.

“Pada awalnya, saya tak merancang pun untuk mengadakan majlis resepsi. Tapi, bila difikirkan semula, saya bersetuju untuk memperkenalkan isteri dalam satu majlis.

“Insya-Allah dalam beberapa hari lagi, kami akan bercuti di Bandung untuk berbulan madu,” katanya yang pernah berkahwin sebanyak tiga kali di antars tahun 2009 hingga 2012 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 6:59 PM