NEELOFA sebak selepas mengumumkan akan berhenti mengacara program MeleTOP ketika siaran langsung program itu di Studio Astro. FOTO Asyraf Hamzah
NEELOFA sebak selepas mengumumkan akan berhenti mengacara program MeleTOP ketika siaran langsung program itu di Studio Astro. FOTO Asyraf Hamzah
Rudy Imran Shamsudin


PENGACARA popular, Noor Neelofa Mohd Noor, 30, atau Lofa tidak ‘ambil pusing’ komen berbau kutukan yang dimuat naik warganet di laman sosial sebaik saja dia membuat pengumuman untuk mengundurkan diri daripada mengacarakan program MeleTOP.

Selepas tujuh tahun mengendalikan program bual bicara infotainment terbitan Astro itu, Lofa memberitahu sepanjang Disember ini adalah bulan terakhir dia bertugas sebagai pengacara di MeleTOP.

Keputusan pengunduran diri itu juga turut disiarkan secara langsung menerusi program MeleTOP yang disiarkan dari Pusat Penyiaran Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.

Ada sebahagian warganet memuat naik kata-kata berunsur kutukan di laman komen portal media arus perdana sebaik berita pengunduran diri Lofa itu disiarkan.

Ada menulis, seharusnya keputusan diumum itu sudah lama dibuat Lofa. Malah, tidak kurang juga ada yang meluahkan rasa minat untuk menonton kembali MeleTOP selepas Lofa tidak lagi mengacara.

Ditemui dalam sidang media selepas pengumuman pengunduran diri itu dibuat di program MeleTOP, Lofa menegaskan kenyataan sedemikian yang dimuat naik warganet itu sudah biasa diterima.

“Ia bukan perkara baru bagi saya, sebelum ini pun ada saja haters (pembenci) melakukan provokasi. Tetapi saya tidak pernah memberikan perhatian kepada pembenci seperti mereka.

“Kalau hendak diikutkan kata-kata positif diberikan umum jauh lebih banyak daripada kata-kata negatif. Sebaiknya saya memberi tumpuan kepada mereka yang positif,” katanya.

Katanya, dia turut menerima banyak kata perangsang daripada umum membabitkan pengundurannya dan pembabitan dalam program baru yang bakal dikendalikan serta sedang dirangka.

Sebelum itu Lofa berkata, keputusan diambil sangat sukar untuk dibuat memandangkan dia sudah lama dan serasi dengan program itu, tapi terpaksa kerana akan terbabit dengan program baru yang dirancang pihak Astro.

Dia turut menangis sewaktu membuat pengumuman menerusi rancangan MeleTOP yang bersiaran secara langsung di saluran Ria, Astro, malam tadi.

Lofa mula mengendalikan program MeleTOP pada 30 Oktober 2012 bersama rakan pengacara juga pelawak popular, Nabil Ahmad.

Pasangan itu bersiaran bersama 370 episod dan sepanjang mengendalikan program bual bicara infotainment berkenaan, Lofa dan Nabil dilihat cukup serasi.

Sepanjang mengendalikan MeleTOP, mereka mampu menonjolkan karakter dan saling melengkapi dengan kekuatan sendiri.

Berita berkaitan

'Neelofa tinggalkan MeleTOP'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 5:40 PM