NEELOFA dalam perancangan untuk mengembangkan kerjaya seni di Indonesia. FOTO Salhani Ibrahim
NEELOFA dalam perancangan untuk mengembangkan kerjaya seni di Indonesia. FOTO Salhani Ibrahim
Najiy Jefri


PENGACARA Neelofa menolak khabar angin yang mendakwa dirinya bakal bertunang atau menamatkan zaman bujang tahun depan sebagaimana yang dikatakan sesetengah pihak.

Neelofa berkata, tiada sebarang perbincangan dilakukan membabitkan ahli keluarga mengenai perkara terbabit.

“Sejujurnya tiada apa-apa perbincangan membabitkan ahli keluarga mengenai ke arah itu. Cuma apa boleh saya kongsikan adik dan sepupu sebaya yang bakal mendirikan rumah tangga pada tahun depan.

“Buat masa sekarang saya dalam perancangan untuk mengembangkan kerjaya seni di Indonesia sekali gus ia menyangkal gosip yang timbul,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi kasut kolaborasi bersama jenama antarabangsa Giuseppe Zanotti di Pavilion, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Neelofa, gosip terbabit timbul kemungkinan disebabkan usianya yang kini menjangkau 30-an.

“Mungkin sebab umur saya sudah 30 tahun menyebabkan ramai yang membuat spekulasi.

“Tiada sebab untuk saya berahsia mengenai kehidupan peribadi. Kalau ada seseorang yang bertakhta di hati, saya akan kongsikan.

“Ini bukan zaman dulu nak sorok. Andai bakal melangkah ke fasa baharu saya akan kongsikan kepada khalayak,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kolaborasi dengan jenama kasut antarabangsa itu, Neelofa yang juga selebriti kedua Asia tampil dengan kerjasama itu meluahkan rasa syukur.

“Saya bersyukur dan teruja atas peluang serta rezeki ini. Ini adalah hadiah bermakna dalam hidup kerana saya adalah peminat jenama kasut ini dan sudah lama menggunakannya.

“Tak sangka peluang ini datang daripada pemilik jenama ini baru-baru ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 8:28 PM