PENYANYI yang akan memeriahkan #KEKJAM.
PENYANYI yang akan memeriahkan #KEKJAM.
Najiy Jefri


LEBIH ramai penyanyi popular bakal memeriahkan #KEKJAM sempena Pusingan Akhir Celcom XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus Semester 2 (XPAXKEK) yang berlangsung hari ini hingga 24 November ini di The Curve, Damansara.

Enam penyanyi popular terbabit iaitu Nabila Razali, Ernie Zakri, Ara Johari, Ismail Izzani, Naim Daniel dan Amir Hasan akan menghiburkan penonton dalam satu konsert mini.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali berkata, penganjuran #XPAXKEK menghimpunkan 18 penyanyi tanah air yang akan bersama-sama memeriahkan lagi pencarian bakat e-sukan dalam kalangan pasukan dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan.

“Kami sangat gembira dengan kejayaan dan maklum balas positif yang diterima berkenaan #XPAXKEK. Melihat kepada komuniti e-sukan yang terus berkembang, #XPAXKEK bukan sahaja bertindak sebagai platform untuk mencari bakat-bakat muda kita tetapi turut sama melibatkan penyertaan akar umbi di seluruh negara.

“#XPAXKEK bukanlah sekadar acara hujung minggu, ia adalah acara untuk mendidik, menghibur dan membantu komuniti e-sukan tempatan meluaskan sayap serta potensi dan peluang karier mereka di masa hadapan,” katanya.

Dianjurkan MyGameOn, portal permainan kendalian Media Prima Digital dengan kerjasama rakan strategik e-sukan Kitamen, acara ini sudah diadakan di lima zon berbeza di seluruh negara.

Selepas berjaya menarik lebih 17,000 pengunjung dan 2.2 juta tontonan video dalam edisi sebelumnya, kali ini, #XPAXKEK akan mempertaruhkan dua judul permainan mudah alih popular di dunia, Mobile Legends Bang Bang dan PUBG Mobile ke dalam arena di mana setiap pasukan berpeluang mempamerkan skil masing-masing untuk merebut hadiah tunai terkumpul RM180,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 10:46 AM