FAUZIAH LATIFF
FAUZIAH LATIFF
Ramlah Zainal


PENYANYI dan pelakon terkenal Fauziah Latiff mengakui watak Tun Dr Siti Hasmah dalam filem Mahathir : The Journey arahan Profesor Mohamad Hatta Azad Khan yang bakal dilakonkan sebagai penghormatan terbesar dalam karier seninya.

Menurut Fauziah, 49, dia juga bersedia menggalas tanggungjawab besar melakonkan watak utama yang juga isteri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya akui ia tanggungawab yang sangat berat kerana ini filem pertama lakonan saya.

“Pada masa sama, saya masih baru dalam bidang ini dan masih banyak yang perlu belajar daripada pengarah serta pelakon lain,” katanya.

Fauziah ditemui pada majlis pelancaran filem Mahathir : The Journey yang disempurnakan produser terkenal Datuk Yusof Haslam di Hotel Sheraton Petaling Jaya, petang tadi.

Mengenai persediaan pula kata Fauziah, dia melakukan kajian mendalam bagi menjiwai watak Tun Hasmah dalam karya itu.

“Saya banyak buat kajian mengenai Tun Hasmah menerusi buku, suratkhabar saluran You Tube dan sebagainya,” katanya.

Selain Fauziah, filem itu diterajui pelakon berpengalaman Azhar Amir melakonkan watak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir.

Selain itu, filem berkenaan turut dibintangi Hilal Azman sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dian P Ramlee (Datuk Seri Wan Azizah), Lisdawati (Nurul Izzah), Ning Baizura (Datin Paduka Marina Mahathir), Dazrin Kamarudin (Syed Saddiq), Afieq Hussain (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) dan Muhamad Harminder Singh (Gobind Singh Deo).

Penggambaran filem menelan belanja RM6 juta itu bermula Disember nanti dan akan dilakukan di sekitar Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Langkawi, Alor Setar, Pulau Pinang dan Hiroshima, Jepun.

Filem Mahathir : The Journey mengangkat perjuangan Tun Dr Mahathir selepas meletakkan jawatan pada 2003

Filem itu adalah inspirasi kisah benar perjuangan Tun Mahathir selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri keempat sehinggalah dilantik semula pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 7:52 PM