MK K-CLIQUE
MK K-CLIQUE
Georgie Joseph

PENYANYI rap juga anggota K-Clique, MK terkilan apabila ada pihak cuba memburukkan namanya dengan mereka perbualan palsu menerusi aplikasi WhatsApp dan menyamar sebagai dirinya.

MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Amdan, 23, memaklumkan perbualan itu tidak pernah wujud dan dia mencabar individu berkenaan untuk mendedahkan nombor telefonnya.

“Ini bukan WhatsApp aku dan perbualan ini tidak pernah wujud. Orang yang ada WhatsApp aku tahu aku macam mana.

Yang tahu aku, akan tahu aku tak akan pernah mahu cakap benda-benda bodoh begini. Tapi terima kasih atas usaha nak jatuhkan aku.

“Kalau betul ini saya, saya benarkan dia untuk tunjuk nombor di sebalik nama MK di gambar WhatsApp itu. Keluarkan nombor,” katanya merujuk kepada tangkap skrin mengenai perbualan berkenaan.

Penyanyi BossKu dan Mimpi itu turut mencabar individu berkenaan untuk berjumpanya sendiri jika benar tidak sukakan dirinya.

“Dan untuk orang yang mereka benda ini, aku doakan kau murah rezeki. Kalau betul tak suka saya boleh DM (mesej peribadi) aku.

“Boleh jumpa cakap dengan aku. Tak payah mahu guna cara busuk begini,” kata penyanyi kelahiran Tawau, Sabah itu.

MK mendedahkan perkara itu menerusi Instagram Story di mana dia turut menyertakan bukti tangkap skrin perbualan WhatsApp berkenaan.

Dalam perbualan terbabit, individu yang menyamar sebagai dirinya mengutuk dan menyifatkan penonton di Keningau, Sabah sebagai ‘jakun’ pada sebuah persembahan dijayakannya, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 1:35 PM