Sudirman Mohd Tahir

TINDAKAN pelakon dan model Haneesya Hanee melancarkan kempen ‘Say No To Bully’ dan ‘Say No To Cyberbully’ bersama Persatuan Pengguna Siber Malaysia wajar diberi pujian serta perhatian.

Apatah lagi, isu buli yang kian berleluasa di media sosial seakan-akan tidak berpenghujung meski sudah kerap kali kempen sama dijayakan.

Bezanya kali ini, buli yang dilancarkan netizen sudah dianggap keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan. Habis ‘ditelanjangkan’ individu yang dimaksudkan demi kepuasan penulisan.

Tidak cukup satu serangan, dipanggil lagi rakan seangkatan untuk bersama-sama melancarkan misi penghinaan semata-mata untuk tujuan memalukan.

Setiap inci diri individu itu akan jadi bahan.

Raut wajah dikata kurang menawan, penampilan bak pengemis jalanan, kurus tak cukup makan, gemuk macam haiwan peliharaan dan hitam legam.

Bukan saja Haneesya tetapi kebanyakan artis tempatan menjadi mangsa buli siber netizen yang berasakan diri mereka ‘Tuhan’.

Ibaratnya, netizen ini cukup sempurna tanpa sebarang kekurangan. Yang cacat, buruk, jijik dan hina ialah golongan artis yang sentiasa menjadi perhatian.

Mungkin dek kerana satu kesilapan, golongan ini dihukum tanpa perlu mendapat pengampunan. Sedangkan, ada banyak lagi kebaikan dilakukan tetapi tidak mahu dikenang atau diberi pujian.

Ini kerana perkara positif dianggap bukan menu hidangan minum petang netizen. Mana yang negatif itu lebih mengenyangkan.

Selain Haneesya, penyanyi Wany Hasrita dan Haqiem Rusli turut menjadi mangsa kekejaman netizen.

Wany hingga mengambil langkah menyahaktif sementara Instagram dan Haqiem mengakui dia mengalami tekanan serta kemurungan.

Ia semua berpunca daripada sikap netizen yang membuli di alam maya atas dasar kebebasan. Berselindung di sebalik akaun palsu dan nama yang bukan-bukan.

Tanpa kita sedar, sikap keterlaluan netizen membahayakan individu berkenaan. Mungkin ramai beranggapan ia sekadar tulisan dan jangan diberi perhatian.

Itu silap kerana ia lebih kekal dan meresap dalam ingatan. Apa yang diperkatakan akan terngiang-ngiang dalam pemikiran hingga mengganggu proses kehidupan. Serba-serbi jadi tidak keruan.

Mengambil contoh kisah kematian bintang K-Pop yang dikatakan kerana tekanan, antara punca adalah buli siber yang sudah tidak mampu lagi dihadam.

Adakah buli siber dalam kalangan selebriti ini akan berhenti sekiranya ada artis yang nekad membunuh diri? Atau bertindak di luar batasan akal fikiran?

Ingat, jadilah netizen yang prihatin untuk perkara yang membawa kebaikan, bukan prihatin atas tujuan menjatuhkan.

Netizen juga perlu tanam sikap tanggungjawab sosial dan nilai murni dalam kehidupan. Bukan artis saja menjadi suri teladan kepada generasi akan datang tetapi selagi netizen itu bergelar manusia, mereka juga dipertanggungjawabkan.

Kena ingat, setiap apa yang ditulis akan dihitung di akhirat kelak. Jika tidak ada apa yang baik untuk diperkatakan, lebih baik diam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:45 AM