KHIR sangat kagum dengan kecekalan Mamat yang sentiasa ketawa, ceria dan suka berbual. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
KHIR sangat kagum dengan kecekalan Mamat yang sentiasa ketawa, ceria dan suka berbual. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Norhayati Nordin


PELAKON utama filem Rock, Khir Rahman meminta orang ramai terus mendoakan yang terbaik buat pengarah terkenal, Mamat Khalid, 56, supaya kesihatannya kembali pulih.

Khir atau nama sebenar Khairulizam Abdul Rahman, 47, berkata ia berikutan masih ada karya seni yang perlu disiapkan oleh sutradara berkaliber itu.

Menurut Khir, Mamat kini sibuk dalam proses pra produksi menyiapkan filem Enam yang melamar dia untuk membintanginya.

Katanya, dia risau sebaik mendapat tahu Mamat dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital pakar di Ipoh, Perak, petang kelmarin akibat sesak nafas.

"Apapun, saya mendoakan abang Mamat cepat sihat dan pulih seperti sedia kala. Dia seorang pejuang yang hebat.

"Namun, saya juga menghormati permintaan keluarganya minta didoakan yang baik-baik buat abang Mamat.

"Semoga abang Mamat kembali pulih dan sihat kerana saya tahu semangat juang dalam dirinya begitu kental," katanya.

Khir yang bertemu dengan Mamat sekitar dua minggu lalu berkata, sutradara itu sentiasa bersemangat apabila berbicara mengenai filem.

"Dia (Mamat) mahu saya membintangi filem baru arahannya, Enam dan kini kami dalam proses perbincangan.

"Apapun, ketika pertemuan itu saya dapati badan abang Mamat susut dan pergerakannya juga menggunakan kerusi roda.

"Namun, saya sangat kagum dengan kecekalan dirinya yang sentiasa ketawa, ceria dan suka berbual," katanya.

Menurut Khir, dia akan ke Perak melawat Mamat Khamis ini selepas segala urusan kerjanya selesai.

Semalam, tular foto Mamat atau nama sebenar Mohamad Mohamad Khalid yang terbaring dengan tiub dan wayar berselirat di badan.

Anak keempatnya, Mohd Khalid Amen, 23, dalam laporan kepada media menafikan bapanya kini sakit teruk.

"Wayar yang menonjol itu sebenarnya alat penguji tekanan darah. Dia (ayah) juga bukan koma, sebaliknya ditidurkan bagi membolehkannya mendapat rehat yang cukup," katanya.

Untuk rekod, akhir Januari lalu, Mamat koma lebih dua minggu dan ditempatkan di ICU, sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.

Pada April 2017, pengarah filem Hantu Kak Limah itu pernah dimasukkan ke ICU di sebuah pusat perubatan di Ampang akibat kepenatan melampau.

Tiga tahun sebelumnya, Mamat juga pernah menjalani pembedahan kecil membuka saluran darah yang tersumbat berikutan masalah jantung.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi isteri Mamat, Hasmah Hassan atau mesra dipanggil kak Intan menerusi aplikasi WhatsApp tidak berjawab.

Berita berkaitan

Mamat Khalid sesak nafas, masuk hospital

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 9:22 PM