HAQIEM mesra melayan peminat.
HAQIEM mesra melayan peminat.
Oleh Georgie Joseph


PENANGAN penyanyi baharu menjayakan Mini Konsert #KEKJAM bersempena Celcom XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus Zon Tengah Ahad lalu membuktikan Budak-Budak Baru Nak Up (BBNU) terus mendominasi industri.

Meskipun cuma lima penyanyi iaitu Wany Hasrita, Haqiem Rusli, Nabila Razali, Muna Shahira dan Amir Hasan yang membuat persembahan, ia cukup membuatkan Dewan Berlian, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor gamat.

Hakikatnya, kemunculan mereka dinantikan peminat yang rata-rata penuntut institusi pengajian berkenaan. Paling penting, masing-masing berusaha memberikan aksi mantap meskipun sekadar mini konsert.

Bagaimanapun, semangat menghibur setiap penyanyi terbabit wajar dipuji memandangkan mereka pandai mengambil hati lebih 2,000 penonton yang hadir. Lebih istimewa, penonton juga ‘sporting’ dalam memberikan sokongan kepada penyanyi kesayangan mereka.

Contohnya, Muna begitu selesa berinteraksi dengan penonton. Bukan setakat mengajak penonton menyanyi bersama lagu dipersembahkannya termasuk Temberang nyanyian asal Ayda Jebat, malah tidak kekok mendekati mereka.

Dia bahkan berjaya menggamatkan suasana apabila memberitahu dirinya juga seorang ‘gamer’. Apalagi, rata-rata yang hadir adalah golongan muda dan peminat e-sukan berkenaan.

“Untuk pengetahuan semua, saya juga bermain permainan maya. Kalau sudi, ikutilah akaun saya.

“Terima kasih disebabkan sudi memeriahkan dan setia menanti persembahan kami semua. Saya sangat seronok dan berbesar hati dengan kehadiran anda semua,” katanya.

Selain lagu temberang, Muna turut menyanyikan single Teguh Setia.

Turut menggamatkan suasana ialah Nabila yang tampil bersahaja namun cukup mesra penonton dengan keletahnya. Penonton pun ramai yang hadir daripada kalangan peminat penyanyi Vroom Vroom itu.

Dia menggunakan sebaik-baiknya peluang yang cukup singkat itu dengan berceloteh dengan mereka. Penyanyi yang turut mempersembahkan lagu Pematah Hati itu sempat menyatakan rasa syukurnya dengan sambutan hebat diberikan penonton.

Paling menggamatkan suasana semestinya penampilan dua penyanyi pujaan ramai, Haqiem dan Wany. Mereka tarikan utama dalam persembahan itu.

WANY cukup menghiburkan.
WANY cukup menghiburkan.

Meskipun cuma menyanyikan dua lagu, sudah cukup memberikan kenangan indah kepada penonton bahkan ramai mengambil peluang untuk berswafoto sepanjang acara itu.

Mini Konsert #KEKJAM itu bertujuan menghiburkan penonton dan bukan saja menghimpunkan bakat e-sukan IPT tempatan tetapi juga peminat setiap artis yang membuat persembahan.

Setakat ini, #XPAXKEK menghimpunkan lebih 18 artis popular tanah air yang bersama-sama memeriahkan pencarian bakat e-sukan dalam kalangan pasukan institut pengajian tinggi tempatan.

Terdahulu, #KEKJAM pernah dimeriahkan penyanyi Indah Ruhaila dan Aman Aziz di Zon Borneo yang berlangsung di Unimas, Sarawak. Untuk Zon Selatan yang diadakan di Paradigm Mall, Johor Bahru pula diserikan dengan kehadiran Harris Baba, Wani Kayrie dan Afieq Shazwan.

Antara artis popular lain yang bakal memeriahkan #KEKJAM di #XPAXKEK ini adalah Hael Husaini, Ernie Zakri, Ara Johari, Ismail Izzani dan Naim Daniel. Tidak terkecuali, Tajul, Tuah Adzmi dan Zack Zakwan.

Cari bakat terbaik e-sukan

Selepas berjaya menganjurkan XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus Semester 1 (#XPAXKEK), Media Prima Digital dan Celcom Axiata Berhad meneruskan penganjuran edisi kedua kejohanan e-sukan itu. Misinya tidak lain tidak bukan mencari bakat terbaik dalam kalangan pasukan e-sukan kampus di institusi pengajian tinggi seluruh negara bagi merebut hadiah tunai terkumpul bernilai RM 180,000.

Dianjurkan MyGameOn, portal permainan kendalian Media Prima Digital dengan kerjasama rakan strategik e-sukan Kitamen, acara ini akan diadakan di lima zon berbeza di seluruh negara.

Selepas berjaya menarik lebih 17,000 pengunjung dan 2.2 juta tontonan video dalam edisi sebelumnya, kali ini #XPAXKEK akan mempertaruhkan dua judul permainan mudah alih popular di dunia, Mobile Legends Bang Bang dan PUBG Mobile ke dalam arena apabila setiap pasukan berpeluang mempamerkan skil masing-masing untuk merebut hadiah tunai terkumpul RM180,000.

Pemenang setiap zon kemudian akan bertanding di ‘grand final’ untuk merebut kejuaraan utama akhir November ini di Kuala Lumpur. Kampus dengan mata terkumpul paling banyak berpeluang membawa pulang biasiswa bernilai RM 50,000, tajaan jenama belia unggul Celcom, Celcom XPAX sebagai satu inisiatif mereka memperkasa e-sukan di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 5:20 AM