ROZI bersama Siti.
ROZI bersama Siti.
Sudirman Mohd Tahir


PENGURUS Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Rozi Abdul Razak akan bersikap lebih tegas terhadap pengguna laman sosial yang memfitnah dan menghina penyanyi itu.

Menerusi status dimuat naik Rozi di Instagram Stories, keputusan pelakon Jasmin Hamid yang mengambil tindakan undang-undang terhadap netizen kerana menghina anaknya bapuk adalah satu pengajaran.

“Betul, semakin negara maju, semakin ke belakang sikap pengguna media sosial. Saya kira jika adik dan artis saya (Siti) melakukan apa yang dibuat oleh Jasmin serta beberapa selebriti lain, itu juga akan menjadi pengajaran.

“Selama ini, Siti mengambil sikap berdiam diri dan menutup mata tetapi semakin hari mereka semakin berani memfitnah, mencerca serta menghina tetapi rata-rata tidak menggunakan nama atau gambar sebenar dan berselindung di sebalik akaun palsu.

“Selepas ini kami akan lebih tegas,” katanya.

Menerusi status itu, Rozi turut memuat naik paparan skrin artikel berkenaan tindakan yang dibuat Jasmin.

Terdahulu, Jasmin tampil mengemukakan tuntutan saman fitnah terhadap tiga individu pada 2 Mei lalu.

Bagaimanapun seorang wanita yang baru melahirkan bayi lelaki, Izzatul Hairiyah Abdullah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesalahan dilakukan dan akur dengan tuntutan dikemukakan Jasmin.

Jasmin berkata, dia mengambil tindakan sedemikian bagi menjaga maruah anak dan keluarganya.

Selain Izzatul, ada dua lagi warganet yang dikenal pasti bakal berdepan dengan tindakan undang-undang. Bagaimanapun perincian mengenai individu terbabit akan dimaklumkan kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 6:21 PM