LAGU Takdir Tercipta - Adira dan Hafiz Suip
LAGU Takdir Tercipta - Adira dan Hafiz Suip
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Lagu: Takdir Tercipta

Penyanyi: Hafiz Suip dan Adira

Komposer: Ikhwan Fatanna & Ayden Ali

Lirik: Ikhwan Fatanna dan Arisz Ab Rahman

Terbitan dan edaran: Nova Music

RAMAI jatuh cinta dengan lantunan vokal hebat Hafiz Suip dan Adira dalam lagu OST filem Ombak Rindu. Diakui lagu itu sangat popular dan diterima baik pendengar ketika itu.

Kolaborasi Hafiz dan Adira kembali menghantui peminat mereka menerusi lagu Untuk Cinta untuk filem Pilot Cafe dan terbaru, Takdir Tercipta yang menjadi OST drama bersiri Lelakimu Yang Dulu.

Berbanding lagu Untuk Cinta yang nampak seperti tiada identiti kerana kedengaran tidak jauh beza dengan Ombak Rindu, Takdir Tercipta mencuri perhatian pendengar dengan sedikit kesegaran dalam melodinya.

Karya dua komposer iaitu Ikhwan Fatanna serta Ayden Ali ini nampaknya disusun dengan elok dan sangat merdu, sekali gus saling melengkapi dengan vokal kedua-dua penyanyi itu.

Bergenre balada, ada jiwa yang dimasukkan dalam lagu ini bagi membuai emosi pendengar.

Ditambah pula dengan lirik hasil karya Ikhwan serta Arisz Ab Rahman, ia menguatkan lagi jiwa dalam lagu itu.

Secara ringkasnya, Takdir Tercipta mengisahkan dua pasangan bercinta yang saling mensyukuri keberadaan masing-masing dalam perhubungan mereka.

Dalam lagu ini juga, kedua-dua karakter saling meluahkan rasa bahagia masing-masing dan bagaimana kewujudan pasangan mereka mampu membawa mereka menikmati saat-saat manis dalam percintaan itu.

Tentunya, Takdir Tercipta mampu menjadi satu lagi lagu tema bukan saha untuk drama, bahkan juga untuk majlis penyatuan cinta.

Di YouTube, video lirik Takdir Tercipta yang dilancarkan sejak dua minggu lalu sudah ditonton lebih sejuta kali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 5:01 AM