HATTAN (tengah) bersama Neon Band.
HATTAN (tengah) bersama Neon Band.
Oleh Ardini Sophia Sina


SETIAP penyanyi tidak kira lama atau baru pastinya akan membuat persiapan rapi sebelum beraksi di pentas menghiburkan tetamu.

Begitu juga penyanyi rock terkenal, Datuk Hattan. Semuanya demi Hot Kool Jam (HKJ) yang berlangsung pada di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang jam 7.45 malam ini.

Hattan berkata, kali terakhir dia menghiburkan peminat di utara tanah air adalah dua tahun lalu. Jadi, peluang yang diberikan HKJ ini tidak dilepaskan begitu saja.

“Saya kerap juga ke Pulau Pinang untuk buat persembahan, tetapi untuk majlis tertutup. Hanya selepas dua tahun, baru saya berpeluang kembali untuk beraksi di pentas terbuka.

“Walaupun sudah lama dalam industri muzik, tetapi saya tetap teruja menjadi seorang daripada penghibur yang memeriahkan acara ini. Ini peluang untuk mendekati peminat,” katanya.

Menyediakan tiga lagu untuk didendangkan pada malam ini, Hattan yakin penonton yang datang menyaksikan HKJ pastinya terhibur dengan persembahan beliau dan penyanyi lain seperti Ella, Siti Nordiana, Khai Bahar, Ara Johari dan Ismail Izzani.

Bagi Hattan, pembabitan dalam acara sebegitu perlu digunakan sebaik mungkin supaya dapat mengekalkan hubungan baik dengan peminat. Ia juga sebagai tanda penghargaan buat mereka yang sentiasa menyokong kariernya.

“Ini adalah salah satu cara untuk kami menghargai peminat. Kami hiburkan mereka menerusi lagu yang menjadi kegemaran mereka. Peluang seperti ini bukan datang selalu.

“Hanya menerusi acara seperti ini dapat terus mengekalkan hubungan baik dengan peminat. Pembabitan dalam HKJ juga membantu dalam perkembangan positif dalam karier,” katanya.

Selain Hattan, Neon Band juga bakal menghiburkan penonton pada acara itu. Masih baru dalam industri muzik, ini adalah peluang untuk terus memperkenalkan kumpulan itu dengan lebih luas.

Neon Band dianggotai Ezwan Ariff selaku penyanyi, Adam Slv (gitar), Azuad Abdullah (dram), Freddie Kay (keyboard), Naim (bass) dan Shafique Sharif (gitar).

Popular dengan lagu Hingga Akhir Nanti dan Cinta Yang Telah Mati, mereka komited untuk memberikan persembahan menarik dan bertenaga pada malam ini.

“Selain menyanyikan lagu sendiri, pihak pengurusan stesen radio juga memberikan kami lagu tugasan menyanyikan dua lagu Allahyarham Sudirman sebagai tanda penghargaan.

“Membawakan lagu penyanyi legenda itu cabaran buat kami. Namun, pada masa sama berbangga berpeluang menyampaikan lagu Sudirman. Dia adalah salah satu ikon muzik yang dikenang sepanjang zaman,” kata Ezwan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 5:10 AM