KUMPULAN Iqbal M. ikat kontrak untuk satu album dengan Luncai Emas. FOTO Instagram Iqbal M.
KUMPULAN Iqbal M. ikat kontrak untuk satu album dengan Luncai Emas. FOTO Instagram Iqbal M.
Ridzuan Abdul Rahman


KUMPULAN indie Iqbal M. mengakui terkejut dan berbangga apabila diterima menyertai syarikat rakaman Luncai Emas milik komposer dan penyanyi Datuk M Nasir awal Januari lalu.

Mereka dianggotai oleh Muhammad Iqbal Othman, 31, sebagai penyanyi, Muhd Al-Hafiz Dolmat, 30, (Fei-gitar), Johan Zolhaidi, 30, (Jo-gitar), Shah Salleh, 35, (Shah-bass) dan Aidil Azali, 30, (Aidil-dram).

Iqbal berkata, penyertaan kumpulan itu dalam Luncai Emas sekali gus dapat menutup mulut segelintir pihak yang sering menghina mereka sebelum ini.

"Apabila dapat bernaung di bawah Luncai Emas, ia dapat menutup mulut mereka yang pernah mengejek dan menghina kami.

"Bukanlah mahu mendabik dada pada semua orang mendakwa kami artis Luncai Emas. Tapi secara tak langsung, nama Datuk M Nasir beri kelebihan pada kami dalam industri hiburan kita.

"Beliau terima Iqbal M. jadi sebahagian ahli keluarganya sudah bagus buat kami," katanya.

Terdahulu Iqbal M. yang membawakan genre alternatif rock, lebih selesa menghasilkan album sendiri iaitu EP berjudul Antara Dua Darjat yang menampilkan lima lagu.

"Kami nak belajar sesuatu yang baru apabila bekerja dengan orang lain.

"Kami ikat kontrak untuk satu album dengan Luncai Emas dan sudah mengeluarkan album berjudul PSJKB.

"Sebelum ini kami hanya kenal M Nasir dari jauh, tak sangka sekarang dapat bernaung di bawah syarikatnya pula," katanya.

Menurut Iqbal, walaupun M Nasir tidak mencurahkan idea dalam album itu, sokongan yang diperlihatkan kepada mereka sudah memadai.

"Tindakan beliau yang memberi kebebasan untuk kami berkarya amat dihargai.

"Ketika kami sedang merakam lagu, beliau datang ke pejabatnya dan kami sempat berbual dengannya.

"Daripada situ, beliau berkongsi pengalamannya dan pada kami ia sesuatu yang amat berharga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 4:27 PM