AWIE lamar Erra Fazira sebagai artis undangan
AWIE lamar Erra Fazira sebagai artis undangan
Ramlah Zainal


NAMA Datuk Awie tidak perlu diperkenalkan lagi di persada hiburan tanah air. Walaupun bermula sebagai vokalis kumpulan legenda, Wings, Awie juga menempa zaman kegemilangannya dalam bidang hiburan tanah air selepas bergelar artis solo.

Sempena meraikan ulang tahun ke-25 perjalanan karier seninya sebagai penyanyi solo, Awie bakal beraksi dalam konsert istimewa bertemakan cinta berjudul Konsert Awie Romantika.

Konsert istimewa itu akan berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada jam 8 malam, 15 Februari tahun depan.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar, Ahmad Azhar Othman, 51, mengakui Konsert Romantika itu juga memiliki kelainan dan keistimewaan tersendiri khusus buat peminat.

“Saya akan mengangkat tema romantika dan bakal menampilkan persembahan berkonsepkan teaterikal atau muzikal nanti. Ia membabitkan pemilihan lagu sesuai dengan susunan muzik yang lebih segar.

“Lebih menarik, konsert ini bakal membawa peminat mengimbau kembali zaman ketika mereka masih muda dan baru mahu mengenal erti cinta.

“Begitu juga zaman ketika mereka baru rasa betapa sakitnya ketika dilukai, kisah cinta sebelum dan selepas berkahwin,” katanya.

Mengulas tarikh konsert yang dijadualkan sehari selepas Hari Kasih Sayang (Valentine’s Day) pula, kata Awie, ia tidak ada kaitan dengan sambutan hari terbabit.

“Konsep konsert bercorak romantika ini sudah lama dirancang. Tarikh 15 Februari dipilih juga hanya secara kebetulan selepas perbincangan dengan semua pihak terbabit dalam konsert ini,” katanya.

Awie ditemui pada sidang media Konsert Awie Romantika yang berlangsung di Flora Terrace, Hampshire Place, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Awie sangat berharap peminatnya tidak akan melepaskan peluang keemasan untuk menonton konsert istimewa itu nanti.

“Selepas hampir 25 tahun tidak muncul dengan konsert solo, saya percaya ramai peminat yang teruja menantikan konsert ini.

“Semua peminat yang membesar dengan rangkaian lagu hit saya pasti dapat mengimbau semula zaman ketika mereka bercinta dulu.

“Saya akan menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu malar segar seperti Tragedi Oktober, Ukiran Jiwa, Di Bayang Awan, Ratuku, Di Penjara Janji, Alif Ba Ta dan Duniaku,” katanya.

Lamar Erra Fazira sebagai artis undangan

Konsert Romantika Awie turut menampilkan artis undangan sekali gus menyemarakkan persembahannya.

Menurut Awie, dia juga sudah menyenaraikan beberapa artis popular termasuk dari Indonesia untuk ditampilkan pada konsertnya nanti.

Antara artis disebut sebagai artis undangan nanti ialah Erra Fazira dan Ziana Zain yang banyak bekerjasama pada zaman kemuncak karier solonya dulu.

“Saya memang ada ‘melamar’ Erra Fazira untuk menjayakan konsert ini. Namun, belum diputuskan lagi.

“Maklumlah, Erra baru saja kembali daripada menunaikan ibadat haji dan kini bergelar hajah.

“Saya juga belum berbincang dengannya membabitkan bayaran dan sebagainya lagi,” katanya.

Kali terakhir Awie tampil dalam konsert solo ialah menerusi konsert solo perdananya, Konsert Awie Live Unplugged di Live Centre KL pada 1995.

Selepas mengundurkan diri seketika daripada kumpulan Wings pada 1993, Awie bergerak secara solo dan sempat menghasilkan lima bingkisan album studio solo dan satu album ‘live’.

Album album solo pertamanya Awie yang dihasilkan pada 1994 juga memuatkan lagu hit seperti Tragedi Oktober, Ukiran Jiwa, Permainan Duniawi dan Di Bayang Awan.

Ia disusuli dengan album seperti Awie ‘Live’ Unplugged (1995), O-Tak (1996), Satu (1998), Rentap (2000) dan Santai (2005).

Selain berhibur, konsert anjuran bersama Atirox Ltd dan IK Global Berhad itu turut menyediakan hadiah istimewa dalam cabutan nombor bertuah untuk dimenangi peminat nanti.

Tiket konsert dijual dengan harga bermula RM88 hingga RM438. Maklumat mengenai tiket boleh layari laman sesawang www.myticket.asia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 5:15 AM