ELIZAD bersama 61 individu mewakili badan beruniform dan Badan Bukan Kerajaan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 di Putrajaya, hari ini. FOTO Siti Elizad
ELIZAD bersama 61 individu mewakili badan beruniform dan Badan Bukan Kerajaan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 di Putrajaya, hari ini. FOTO Siti Elizad
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular Siti Elizad terharu dan bangga apabila diberi peluang membacakan ikrar bersama 61 individu lain yang mewakili badan beruniform dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 di Putrajaya, hari ini.

Elizad, 35, atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohamad Sharifuddin berkata, dia dipilih bersama Rahim dan Angah bagi mewakili stesen radio Sinar FM.

“Saya rasa seperti nak menangis. Betul-betul terharu dan berbesar hati. Tak sangka tahun ini saya berpeluang membuat bacaan ikrar mewakili Sinar FM di depan Yang Dipertuan Agong, Perdana Menteri dan tetamu kehormat lain.

“Berkawad bersama anggota pakaian seragam yang lain membuat saya berasa bangga. Apatah lagi dapat menyanyikan lagu Negaraku dan melaungkan Merdeka sebanyak tujuh kali. Tak tau nak cakap macam mana.

“Apabila dapat berkumpul beramai-ramai, rasa cinta terhadap negara semakin menebal. Dapat lihat semangat perpaduan semua kaum, bangsa dan agama,” katanya.

Menurut Elizad, kemerdekaan bukan saja pada sambutan yang diadakan setiap tahun, tapi ia perlu lahir dari hati dan dalam diri setap rakyat Malaysia.

“Bagi saya, erti merdeka pada zaman milllenium ini adalah bersihkan minda dan jiwa. Paling penting, setiap daripada kita perlu hidup dalam keadaan positif tinggalkan segala yang negatif,” katanya.

ELIZAD, Angah dan Rahim. FOTO Siti Elizad
ELIZAD, Angah dan Rahim. FOTO Siti Elizad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 3:12 PM