KUMPULAN J-Born akan terus dihidupkan menerusi beberapa perancangan yang sudah difikirkan. FOTO Saifullizan Tamadi
KUMPULAN J-Born akan terus dihidupkan menerusi beberapa perancangan yang sudah difikirkan. FOTO Saifullizan Tamadi
Sudirman Mohd Tahir


JUARA program Muzikal Lawak Superstar (MLS), kumpulan J-Born akan terus dihidupkan menerusi beberapa perancangan yang sudah difikirkan.

Anggotanya, Khir Rahman yang juga pelakon dan pengarah berkata, semasa dalam pertandingan lagi dia sudah memikirkan hala tuju kumpulan itu yang turut dianggotai Joey dan Vicha.

“Alhamdulillah, kami sudah seperti sahabat dan seperti ada pegangan yang sama. Ketika dalam pertandingan, saya cakap pada Joey, J-Born tak boleh mati macam ini saja.

“Walaupun kami tak tahu sama ada kami akan menang atau tak, kami fikir J-Born perlu terus dihidupkan.

“Kami merancang untuk adakan lagu, filem dan siri J-Born. Ini baru bayangan sebab tak nak J-Born sampai di sini saja,” katanya.

J-Born muncul juara MLS akhir yang berlangsung semalam sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 berserta trofi. Mereka menewaskan tiga finalis lain iaitu kumpulan UNI, Newboh dan Botak.

Menurut Khir, MLS satu lagi platform terbaik untuk semua artis termasuk penyanyi, pelakon, pendakwah dan sesiapa saja untuk menunjukkan bakat dalam bidang komedi.

“Kami sangat menghargai MLS sebab ia menggabungkan kami. Saya anggap pembabitan dalam kumpulan dan program ini satu rahmat. Bagi saya, MLS ruang yang baik buat semua pelakon, penyanyi, ustaz dan siapa saja boleh masuk program ini.

“Ustaz Fakhrul daripada kumpulan UNU sudah membuktikan dia boleh. Jadi, saya nak ajak kawan-kawan lain yang bukan pelawak masuk MLS jika ada musim depan. Kalau saya boleh, takkan orang lain tak boleh?” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 12:04 PM