AWAL terima Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh kerana berjaya pasarkan jenama keluarga. FOTO Instagram Awal Ashaari
AWAL terima Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh kerana berjaya pasarkan jenama keluarga. FOTO Instagram Awal Ashaari
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON dan pengacara terkenal, Awal Ashaari berbangga apabila buat pertama kali dipilih menerima Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh oleh Entrepreneur Insight semalam.

Awal, 38, atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari berkata, pemilihannya berdasarkan sumbangan dalam bidang hiburan apabila berjaya menjenamakan namanya termasuk isteri, Scha Alyahya dan anaknya, Lara Alana.

“Anugerah ini mengiktiraf mereka yang terbabit dalam bidang perniagaan. Apabila terpilih, saya cakap perniagaan masih baru lagi dan belum berjaya macam orang lain.

“Tapi mereka cakap, saya dipilih berdasarkan sumbangan dalam bidang hiburan. Saya sebagai artis tahu macam mana nak memasar dan menjenamakan diri termasuk anak dan isteri.

“Dalam erti kata lain, berniaga dalam bidang penyiaran dan hiburan. Ini juga dikira sebagai ahli perniagaan,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dengan menggunakan peluang yang ada seperti media sosial, gelaran selebriti dan berpeluang ke serata dunia bagi mewakilkan jenama besar sekali gus menjenamakan keluarga. perkara sebegitu diambil kira sebagai perniagaan.

“Dalam masa sama, saya memang ada perniagaan butik, minyak wangi dan produk lain.

“Tapi anugerah diterima lebih fokus kepada perniagaan dalam bidang seni. Sebab itu saya bersetuju untuk terima,” katanya.

Menurutnya, anugerah yang diterima itu sedikit sebanyak memberikan semangat untuknya terus mengorak langkah dalam bidang perniagaan.

Malah, Awal juga berasa bertuah apabila menerima anugerah itu daripada Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Istimewanya apabila anugerah ini dapat kunjungan PM dan isteri. Tun hadir memberikan ucapan dan melancarkan anugerah ini.

“Bagi saya anugerah ini sesuatu yang istimewa apabila dapat pengiktirafan daripada kerajaan dan juga pembabitan daripada PM.

“Walaupun ia majlis anugerah yang ‘ringkas’, tapi dekat dengan saya sebab berasakan pembabitan PM menjadikan ia sangat prestij,” katanya.

Majlis berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu turut menyaksikan beberapa selebriti tempatan yang terbabit dalam bidang perniagaan menerima anugerah itu.

Antaranya, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fasha Sandha, Nelydia Senrose, Wany Hasrita, Shaheizy Sam, Fara Fauzana dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 6:45 PM