SYAFIQ rimas diasak kongsi hubungannya dengan Mimi Lana.
SYAFIQ rimas diasak kongsi hubungannya dengan Mimi Lana.
Najiy Jefri


SYAFIQ Kyle memohon semua pihak menghormati kehidupan peribadinya dan meminta tidak didesak untuk terus berkongsi kisah cintanya dengan Mimi Lana.

Syafiq berkata, biarlah dia menentukan kisah peribadinya kerana enggan ia dicampur aduk dengan kerjaya.

“Apabila saya membuat keputusan membuka satu lapisan kisah peribadi kepada umum dan membuat keputusan gerangan kekasih hati, saya berharap tidak berterusan diajukan pertanyaan sama.

“Saya hormati pihak yang ingin mengetahui kehidupan peribadi saya. Disebabkan itu, saya berkongsi kisah hubungan saya bersama Mimi sebelum ini.

“Namun saya berharap diberikan sedikit ruang kerana seboleh mungkin, tidak mahu hal peribadi dicampuradukkan dengan kerjaya.

“Saya berharap, permintaan saya ini dihormati semua pihak,” kata pelakon drama rantaian popular, Nur yang ditemui pada majlis pelancaran Festival Perlumbaan Toyota Gazoo di Subang, baru-baru ini.

Menurut Syafiq, dia dan Mimi mempunyai cara tersendiri untuk mencapai sesuatu terutama dalam bidang seni .

“Masing-masing ada benda yang ingin dicapai dalam hidup. Kami berdua nak berjaya dalam bidang ini jadi perlu melakukan sehabis baik untuk menjadi seseorang yang terbaik dalam hidup.

“Urusan cinta itu hal peribadi kami. Apa yang penting adalah untuk memastikan kerjaya kami berjalan lancar dan masih diterima peminat,” katanya.

Bercerita perkembangan kerjaya, Syafiq berkata, dia bakal beraksi di pentas teater arahan Erma Fatima.

“Saya dan Janna Nick bakal bergandingan di pentas teater pada bulan depan. Tidak sabar rasanya mahu mencuba sesuatu yang baharu, malah ia juga memberikan saya peluang memperluaskan portfolio seni.

“Sudah lama saya menyimpan impian untuk berlakon teater kerana ingin mencari pengalaman berbeza. Apabila Erma memberikan tawaran, saya terus terima tanpa berfikir panjang,” katanya.

Ditanya mengenai tawaran berlakon filem Nur, Syafiq mengakui tidak tahu menahu mengenai jalan cerita filem terbabit namun sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Jika jalan ceritanya bersesuaian dan tidak terikat dengan mana-mana komitmen, saya tiada masalah untuk menjayakannya.

“Namun setakat ini saya hanya dimaklumkan mengenai filem Nur bakal diterbitkan saja. Selebihnya belum ada sebarang perbincangan yang lebih mendalam,” katanya.

Beralih mengenai pembabitannya dalam musim ketiga Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) pada September hadapan, Syafiq mengakui teruja apabila buat julung kalinya dia menyertai perlumbaan itu.

“Saya tak sabar nak beraksi di litar yang sebenar. Sebelum ini hanya lihat saja mereka beraksi, tapi kali ini saya bersama rakan selebriti lain akan bersama-sama berlumba hingga ke garisan penamat.

Musim ini bakal menampilkan dua selebriti baharu iaitu pelakon, Ain Edruce dan Syafiq selain mengekalkan Shukri Yahaya, Shawn Lee, Nabil Ahmad, Khai Bahar, Nabila Razali, Wany Hasrita, Janna Nick dan penyandang juara Diana Danielle serta Timbalan Presiden UMW Toyota, Akio Takeyama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 4:30 AM