MAMAT (kiri) dan Shuib (kanan) tidak menolak kemungkinan kembali bersama dalam kumpulan Sepah. FOTO Arkib NSTP
MAMAT (kiri) dan Shuib (kanan) tidak menolak kemungkinan kembali bersama dalam kumpulan Sepah. FOTO Arkib NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


"JIKA diikutkan sejarah Sepah adalah hasil ilham saya, begitu juga Sepahtu. Ketika susah kami bersama-sama tetapi apabila senang semuanya lain-lain.

"Saya tidak mahu memberi harapan untuk kembali dan biar masa menentukan," kata bekas ahli kumpulan Sepah, Mohd Noor Murad, 34, atau Mamat Raja Lawak.

Mamat menjawab permintaan peminat yang mahukannya kembali menyertai Sepah selepas jenaka kumpulan itu tidak lagi menyinar berbanding ketika Juara Lawak musim ketiga pada 2009.

Mamat berkata, dalam pengetahuannya lawak Sepahtu tidak sama seperti dulu dan kemungkinan berkait penyertaan rakan selebriti, Rahim Mat Ali, 49, atau Rahim R2.

"Sewaktu Rahim mahu menyertai Sepahtu, berulang kali saya cakap dia mesti bagus daripada saya. Ini kerana Sepah memiliki harga diri yang cukup mahal.

"Memang ada peminat mahukan Sepah yang asal tetapi saya tak mahu beri harapan. Saya tidak menolak kemungkinan untuk kembali dan setakat ini tiada perancangan," katanya dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mamat mengakui dia pernah melakukan kesilapan pada 2012 menyebabkannya disingkirkan daripada kumpulan terbabit seperti lupa diri sebaik memiliki ratusan ribu ringgit ketika berusia 25 tahun sebelum dikaitkan dengan beberapa wanita.

"Ia menjadi pengajaran berguna untuk menjadi manusia yang lebih baik. Cuma kadang-kadang saya terfikir dulu kami susah bersama tetapi apabila senang semuanya membawa haluan," katanya.

Menurutnya, hubungannya bersama rakan, Shuib dan seorang lagi anggota kumpulan itu setakat ini baik serta mereka pernah mencapai kejayaan yang membanggakan.

Sementara itu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 35, berkata dia berbesar hati sekiranya Mamat dapat menyertai semula kumpulan Sepah.

"Jika diikutkan hati, saya setuju jika Mamat dikembalikan. Saya boleh mencadangkan untuk dia dikembalikan tetapi terpulang pada pihak lain sama ada menerima atau tidak.

"Dakwaan mengatakan kumpulan Sepahtu tidak lagi kelakar berbanding Sepah adalah meleset. Sudah 10 tahun saya berada dalam industri ini dan jenaka sentiasa berubah mengikut peredaran zaman," katanya.

Menurutnya, Sepah mahupun Sepahtu memiliki kelebihan masing-masing dengan tujuannya menghiburkan penonton.

"Jika kumpulan Sepah masih bertapak, adakah ia masih kekal relevan pada hari ini," katanya.

Kata Shuib, rezeki tidak mengizinkan Mamat bersama Sepah sebelum kumpulan itu dijenamakan semula sebagai Sepahtu pada 2012.

"Kami sentiasa melihat ke depan dan dalam perancangan untuk menyatukan semula Sepah. Kami bertiga juga sudah membawa haluan masing-masing dan memiliki keluarga," katanya memberitahu perjalanan karier mereka kini diatur pihak pengurusan dan stesen televisyen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 6:11 PM