SITI Nurhaliza. FOTO: Nurul Syazana Rose Razman
SITI Nurhaliza. FOTO: Nurul Syazana Rose Razman
Najiy Jefri


ISTIADAT Pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 esok bukan sahaja dinanti seluruh rakyat Malaysia bahkan turut menarik perhatian penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu menyifatkan Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berjiwa rakyat dan disenangi ramai.

“Sebagai rakyat Pahang saya berasa gembira dan bangga apabila Sultan Abdullah diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong sekali gus menaiki takhta negara.

“Sultan Pahang terkenal dengan sikapnya yang mesra rakyat. Begitu juga dengan Permaisuri Agong,” katanya kepada Harian Metro.

Istiadat yang akan berlangsung di Istana Negara itu secara rasminya menandakan permulaan pemerintahan Sultan Abdullah sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menjelang upacara penting itu, pelbagai persiapan diatur teliti bagi memastikan istiadat yang bakal menyingkap kebesaran raja-raja Melayu itu berlangsung sempurna.

Rata-rata rakyat tidak sabar menantikan hari bersejarah itu yang akan menyaksikan Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menaiki takhta negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 7:36 PM