KHIR (tiga dari kanan) bersama Ahli Jawatankuasa PROFIMA menunjukkan trofi Anugerah Profima 2019. FOTO Eizairi Shamsudin
KHIR (tiga dari kanan) bersama Ahli Jawatankuasa PROFIMA menunjukkan trofi Anugerah Profima 2019. FOTO Eizairi Shamsudin
Najiy Jefri


PERSATUAN Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) akan menganjurkan Anugerah Profima 2019 (AP2019) pada 14 Disember depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Menurut Presidennya, Kapten (K) Khir Mohd Noor, majlis anugerah kali ke-12 itu bertujuan bagi menghargai dan menobatkan jasa pekerja belakang tabir industri perfileman Malaysia.

“AP2019 adalah untuk menghargai dan mengangkat nilai serta kedudukan kru yang menjadi tulang belakang sesebuah penerbitan di dalam industri kreatif Malaysia.

“Anugerah ini juga bertujuan memberi kefahaman lebih jelas kepada masyarakat mengenai kerjaya yang boleh diceburi oleh generasi muda,” katanya.

Sebanyak 57 anugerah diberikan kepada mereka yang terbaik menerusi kategori Produser Terbaik, Pengarah Terbaik, Solekan Terbaik, Aksi Lagak Ngeri Terbaik dan banyak lagi.

Tarikh penghantaran pencalonan bermula pada 15 Julai lalu hingga 10 November ini.

Setiap pencalonan dihantar mestilah produk yang ditayangkan dari Januari 2017 hingga Jun 2019.

Pada majlis anugerah terbabit, PROFIMA akan menyediakan pakej jualan meja makan malam bermula dari RM2,000.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi pejabat PROFIMA di talian 013-7683856.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 5:28 PM