JANNA akui berkawan rapat dengan model dan pelakon kacak, Dini Azan Schatzmann. FOTO/NSTP
JANNA akui berkawan rapat dengan model dan pelakon kacak, Dini Azan Schatzmann. FOTO/NSTP
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular Janna Nick mengakui berkawan rapat dengan model dan pelakon kacak, Dini Azan Schatzmann.

Janna, 24, bagaimanapun enggan bercerita lanjut mengenai hubungan itu kerana masih dalam fasa berkawan.

“Kami memang berkawan rapat dan saya selesa dengannya. Buat masa sekarang biarlah kami ikut aturan ditetapkan. Jangan nak terburu-buru.

“Lagipun, saya ini perempuan jadi tak manis sekiranya terlalu bercakap soal ini. Nanti apa pula kata orang. Sebaiknya, doakan saja yang baik-baik,” katanya kepada Harian Metro.

Janna yang baru muncul dalam drama Bukan Cinta Aku mengakui jejaka berdarah campuran itu seorang yang baik.

“Cukup untuk saya katakan dia lelaki yang baik. Lagi satu, walaupun dia berlakon dengan saya, dia tak pernah nak tumpang populariti.

“Itu yang membuatkan saya selesa berkawan dengannya. Kebetulan, saya jarang ada kawan lelaki dan boleh jadi kawan baik,” katanya.

Difahamkan, mereka mulai rapat ketika berlakon bersama dalam drama Bukan Cinta Aku yang ditayangkan di slot Akasia, TV3 baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 4:22 PM