SARAH dan Ariff.
SARAH dan Ariff.
Ardini Sophia Sina


TAHUN lalu selepas meninggalkan pentas sebuah pertandingan, nama Sarah Suhairi dan Ariff Bahran menjadi sebutan berikutan desas-desus mereka hangat bercinta.

Tidak kurang juga ada yang mendakwa perkara itu hanya sekadar gimik bagi membantu menaikkan nama dua penyanyi ini agar lebih dikenali. Namun, seiring peredaran masa gosip itu tidak lagi diperkatakan.

Tampil dengan lagu berjudul Selamat Berhari Raya, Sarah mahupun Bahran sama sekali tidak bimbang mahupun gentar gosip yang pernah melanda mereka sekali lagi diperkatakan.

Malahan, kata Sarah, lagu itu hadiah kepada peminat yang selama ini menyatakan hasrat mahu melihat mereka berduet.

Kata Sarah, duet itu sama sekali tidak dirancang. Ia direalisasikan atas permintaan syarikat pengurusan dan dia tidak menolak kerana kesempatan merakamkan lagu raya bukannya datang selalu.

“Ada yang tanya kenapa tak buat lagu duet dengan Bahran ketika gosip itu tengah panas. Sebenarnya, kami tidak ada sebarang perancangan pun untuk bekerjasama malah kami tak sangka ia hangat diperkatakan.

“Lagu raya ini pun syarikat rakaman yang cadangkan. Mula-mula saya ingatkan dengan Floor 88 sebab banyak juga buat persembahan dengan merek tetapi rupa-rupanya bergandingan dengan Bahran.

MESRA tapi sebagai sahabat.
MESRA tapi sebagai sahabat.

“Kami berada di bawah pengurusan yang sama. Oleh itu, tidak ada masalah untuk wujudkan keserasian. Memang seronok dan senang bekerja dengan Bahran,” katanya.

Menyedari terlalu banyak lagu raya dihasilkan saban tahun, Sarah akui bukan mudah untuk tarik perhatian pendengar.

Namun, dia enggan mengalah dan berharap lagu dendangannya dan Bahran itu dapat diterima ramai dan menjadi pilihan untuk diputarkan di radio setiap kali menjelang lebaran.

“Setiap tahun, memang banyak sangat lagu raya baharu dihasilkan. Saya tahu, susah untuk kekal dan menonjol kerana orang ramai masih suka lagu raya lama.

“Bagaimanapun, sudah pastilah saya berharap agar lagu ini menjadi pilihan stesen radio agar diputarkan setiap tahun seterusnya menjadi koleksi malar hijau,” katanya.

Berkongsi cerita mengenai sambutan Aidilfitri, Sarah berkata ramai peminat mencadangkan dia mengadakan rumah terbuka.

Menurut Sarah memandangkan ini tahun pertama dia menyambung Syawal sebagai penyanyi, dia perlu berbincang dengan bapanya terlebih dahulu.

“Kami belum pernah buat rumah terbuka tetapi apabila ada peminat yang bertanya, saya dan ayah kena fikir betul-betul. Bukan apa, bimbang nanti tak terlayan semua yang datang.

“Bukan maksud saya ada ramai peminat tetapi tak mahulan nanti ada tetamu yang kurang mendapat layanan. Kalau boleh saya mahu layan semua tanpa ada yang rasa terabai,” katanya.

Sementara itu, Bahran menzahirkan rasa syukur kerana masih berkesempatan meraikan lebaran bersama keluarga meskipun jadual seninya padat.

SARAH bersama bapanya, Suhairi Hamdan.
SARAH bersama bapanya, Suhairi Hamdan.

“Puasa tahun ini jadual saya sibuk dengan persembahan sampai kurang masa untuk keluarga.

“Bagaimanapun saya ‘bayar’ balik ‘hutang’ itu dengan bercuti selama beberapa hari untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan sanak-saudara tersayang.

“Inilah masanya dapat berkumpul bersama dan melakukan pelbagai aktiviti bersama,” katanya.

Mulai bergiat aktif sejak 2017, Bahran yang popular dengan lagu Kata Akhirmu itu bersyukur kerana keluarga memahami situasi dan cara kerjanya sebagai penyanyi.

Komitmennya mengadakan persembahan tidak hanya di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sahaja tetapi juga seluruh Semenanjung Malaysia. Malahan, ada juga majlis yang perlu dihadirinya di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, sebagai seorang anak, Bahran tidak pernah melupakan tanggungjawabnya terhadap keluarga. Sesibuk mana pun bekerja, jejaka berusia 21 tahun itu tetap berusaha membahagikan masa antara kerja dan keluarga.

Diminta mengulas tidakkah bimbang sekiranya gosip lama berulang kembali apabila berduet dengan Sarah, Bahran menegaskan tiada apa yang perlu ditakutkan.

“Kenapa perlu takut dengan benda yang tak betul? Saya tak pernah ambil kisah apa orang nak cakap mengenai kami.

“Apa yang penting kami tahu cerita sebenar, biarlah orang nak cakap apa pun. Penat bercakap nanti, mereka akan diam,”

katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 6:00 AM