SHUK tangguh hasrat buka tadika kerana isteri hamil.
SHUK tangguh hasrat buka tadika kerana isteri hamil.
Norhayati Nordin


PELAWAK dan penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar terpaksa menangguhkan hasrat pembukaan tadika yang sudah dirancangnya berikutan isterinya hamil.

Shuk, 33, yang juga juara Super Bintang Bersama Bintang (BBB) 2019 berkata, keputusan itu dibuat sebaik saja isterinya disahkan hamil anak kedua mereka.

“Memang saya ingin buka tadika sebagai memenuhi impian isteri yang sukakan kanak-kanak tetapi bukan sekarang. Ketika ini dia sarat mengandung dan akan menjalani tempoh berpantang selepas ini. Rasanya tidak perlu juga terburu-buru. Walaupun tak dapat buka tadika sekarang, tapi boleh cuba perniagaan lain dulu,” katanya.

Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohammed Sahar berkata, pada Ramadan ini dia akan berniaga pakaian lelaki seperti kurta.

Sementara itu, ditanya pembabitannya dalam program BBB akan datang, Shuk berkata, dia belum membuat keputusan sama ada terus menyertai program itu atau menarik diri.

“Kalau ikutkan penat mencari dan memikirkan idea untuk persembahan, memang betul tetapi ia adat dalam pertandingan.

Saya kena fikir dengan teliti sebelum buat keputusan. Lagipun masa masih panjang lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 6:50 PM